Obor-obor beracun muncul di perairan Terengganu

Obor-obor beracun yang dikenali sebagai Portuguese man o' war.
Obor-obor beracun yang dikenali sebagai Portuguese man o' war.
A
A
A

MARANG - Orang ramai diingatkan supaya berwaspada dan tidak menyentuh obor-obor beracun yang dikenali sebagai portuguese man o' war (physalia cnidaria).

Hidupan laut itu ditemui terdampar di Pantai Pulau Kekabu, di sini oleh anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Marang ketika sedang menjalani Latihan Penyelamat Pantai APM, dua hari lalu.

Pengarah Perikanan Terengganu, Zawawi Ali berkata, hidupan laut dalam spesies obor-obor yang dikategorikan dalam filum cnidaria itu mempunyai ribuan sel penyengat berbisa.

"Physalia adalah haiwan yang dikategorikan dalam filum cnidaria bersama-sama obor-obor di mana ia tidak boleh berenang dan bergantung kepada arus.

"Haiwan ini mempunyai ribuan sel penyengat yang boleh menyebabkan rasa sakit melampau jika terkena pada badan," katanya.

Hidupan laut dalam spesies obor-obor yang dikategorikan dalam filum cnidaria itu mempunyai ribuan sel penyengat berbisa. FOTO: Ihsan APM Marang.
Hidupan laut dalam spesies obor-obor yang dikategorikan dalam filum cnidaria itu mempunyai ribuan sel penyengat berbisa. FOTO: Ihsan APM Marang.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai supaya menjauhkan diri, tidak menyentuh atau berenang di kawasan yang terdapat spesies tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Sama seperti obor-obor biasa, elakkan diri daripada terkena pada badan kerana ia akan menyebabkan kegatalan.

"Setakat ini tiada antivenom untuk merawat bisa yang disebabkan sengatan physalia.

"Rawatan yang ada adalah berbentuk ubat penahan sakit dan melegakan simptom," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata, haiwan tersebut biasanya ditemui di Lautan Pasifik, namun sejak kebelakangan ini ia turut dikesan di perairan Thailand, Kuantan, Pulau Tioman dan Sabah.

"Sekiranya hidupan ini ada ditemui di Marang dan Setiu, bermakna di perairan Kuala Terengganu pun berkemungkinan ada spesies haiwan yang sama," katanya.