Kedah mohon pembenihan awan guna pesawat TUDM

Zamri pada sidang media selepas Roadshow Perluasan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri dan Majlis Penyampaian Faedah Perkeso di Wisma Perkeso Alor Setar, Jalan Teluk Wanjah, di sini hari ini.
Zamri pada sidang media selepas Roadshow Perluasan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri dan Majlis Penyampaian Faedah Perkeso di Wisma Perkeso Alor Setar, Jalan Teluk Wanjah, di sini hari ini.
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan Pusat diminta melaksanakan operasi pembenihan awan (OPA) menggunakan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bagi membantu meningkatkan paras air empangan utama untuk menampung keperluan domestik dan pertanian di negeri ini.

Exco Kerja Raya, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, Zamri Yusuf berkata, usaha perlu dilakukan kerana kawasan tadahan air di negeri ini belum menerima air hujan yang mencukupi bagi menampung keperluan untuk musim kedua pertanian pada Mac depan.

Menurutnya, walaupun hujan turun di Kedah kelmarin, namun kuantiti air diperlukan masih belum mencukupi dan paras air di empangan utama didapati masih tidak banyak meningkat, sekali gus memerlukan pembenihan awan lebih efisien untuk dilaksanakan.

"Alhamdulillah hujan turun, namun ia tidak cukup sebab kita lihat paras air di empangan tidak meningkat. Sangat sedikit, namun ada yang naik selepas hujan, misalnya di Stesen Pinang Tunggal.

"Malah, kita ada perbincangan dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kedah untuk mencadangkan pembenihan awan di kawasan tadahan," katanya pada sidang media selepas Roadshow Perluasan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri dan Majlis Penyampaian Faedah Perkeso di Wisma Perkeso Alor Setar, Jalan Teluk Wanjah, di sini hari ini.

Bagaimanapun katanya, kegunaan domestik masih mencukupi ketika ini.

Mengulas lanjut katanya, kerajaan negeri sebelum ini telah melakukan dua pembenihan awan, namun operasi pembenihan awan lain yang disifatkan lebih efisien perlu dilakukan.

"Kita sudah melakukan operasi pembenihan biasa yang menelan belanja antara RM20,000 hingga RM30,000, jadi kita sekarang meminta bantuan untuk operasi menggunakan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) daripada kerajaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, operasi pembenihan awan yang memerlukan penerbangan menggunakan pesawat khas dianggarkan menelan kos RM80,000 untuk satu penerbangan.