Jangan sampai hakisan 'telan' Pantai Teluk Lipat!

Wan Hapandi menunjukkan hakisan teruk yang berlaku.
Wan Hapandi menunjukkan hakisan teruk yang berlaku.
A
A
A

DUNGUN - Kerajaan Pusat diminta untuk menyegerakan perlaksanaan projek mengatasi hakisan pantai di Pantai Teluk Lipat di sini yang kian membimbangkan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Wan Hapandi Wan Nik berkata, masalah hakisan menjadi lebih teruk setiap kali musim tengkujuh sehingga mengundang keresahan penduduk di kawasan tersebut.

"Masalah ini berlaku sudah lama, namun tiada kesudahannya. Saya dimaklumkan projek bagi mengatasi hakisan ini sedang diusahakan, namun kita minta ia disegerakan.

"Setiap kali musim tengkujuh, hakisan teruk berlaku. Kita tidak mahu akhirnya ia 'menelan' pantai ini dan menjejaskan penduduk di sekitar.

"Saya juga sentiasa berhubung dengan pihak Jabatan Perairan dan Sungai (JPS) bertanya bagaimana proses dan perkembangan, kita harap kerajaan pusat menyegerakannya," katanya ketika melakukan tinjauan hakisan di pantai itu petang semalam.

Wan Hapandi bersama penduduk ketika meninjau hakisan di Pantai Teluk Lipat.
Wan Hapandi bersama penduduk ketika meninjau hakisan di Pantai Teluk Lipat.

Beliau yang juga Timbalan Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja Terengganu berkata, masalah hakisan teruk itu bukan sahaja memberi kesan kepada penduduk, tetapi turut memberi kesan kepada industri pelancongan.

Jelasnya, Pantai Teluk Lipat merupakan antara kawasan tumpuan pelancong, namun dibimbangi ia akan hilang daya tarikan kerana kerosakan yang berlaku.

Artikel Berkaitan:

“Sepanjang pantai ini juga banyak kedai makan. Kita bimbang jika keadaan seperti ini berterusan, mereka akan mengalami kerugian dan kemusnahan harta benda juga akan berlaku.

"Industri pelancongan juga bakal terjejas dengan teruk sekiranya ia tidak diatasi dari sekarang," katanya.

Sementara itu, mengenai aduan nelayan agar kerajaan mendalamkan muara Sungai Dungun, beliau berkata, ia dalam tindakan.

“Saya dimaklumkan pihak JPS bahawa ia sudah dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12. Sama sama kita berdoa agar projek ini disegerakan demi keselesaan nelayan kita," katanya.

Kesan teruk hakisan yang terlalu hampir dengan jalan raya.
Kesan teruk hakisan yang terlalu hampir dengan jalan raya.