Desak polis, SPR siasat kes ugut Tok Batin

Bob Manolan
Bob Manolan
A
A
A

SHAH ALAM - Kluster Peguam Muda Pemuda Umno mendesak supaya polis dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyiasat laporan berkaitan ugutan terhadap Tok Batin di Cameron Highlands.

Pengerusinya, Nik Saiful Adli Burhan berkata, jika terbukti benar dakwaan itu, tindakan tegas perlu diambil bagi mengelak kejadian sama berulang.

Katanya, ia kerana kenyataan ugutan itu jelas bertentangan dengan Seksyen 9 Akta Kesalahan Pilihanraya 1954, di mana perbuatan mengancam pengundi adalah suatu kesalahan yang boleh dihukum penjara sehingga dua tahun jika didapati bersalah.

"Walaupun ia dilakukan sebelum tempoh berkempen, namun akta ini jelas menyebut ianya sebagai kesalahan meskipun dilakukan sebelum ataupun selepas sesuatu perjalanan pilihan raya.

"Perbuatan ini juga adalah kesalahan di bawah seksyen 124B Kanun Keseksaan kerana mengancam dan menjejaskan perlaksanaan sistem demokrasi berparlimen di negara ini dan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Ugut tak bayar gaji tok batin, Senator PKR dibidas kawan, lawan]

[ARTIKEL BERKAITAN: Anwar mahu Bob Manolan beri penjelasan​​​​​​​]

Ugutan berkenaan dikatakan dibuat Senator PKR, Bob Manolan Mohd.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, Bob Manolan menjelaskan bahawa kenyataan sebenar yang dikatakannya sebenarnya adalah merujuk kepada peranan Tok Batin yang tidak seharusnya memegang jawatan itu dan pada masa sama masih mengambil jawatan dalam Umno.

Dalam pada itu, Nik Saiful Adli berkata, Pemuda Umno dan rakyat Malaysia tidak rela melihat melihat sistem demokrasi dirosakkan perbuatan-perbuatan seperti ini.

"Pengundi Parlimen Cameron Highlands adalah bebas memilih siapa yang mereka fikirkan layak memimpin.

"Jika ugutan jenayah dan ancaman sebegini menjadi asas untuk berkempen dan menang pilihan raya, tiada guna kita habiskan duit rakyat untuk mengadakan pilihan raya," katanya.