Industri pelancongan hanya dapat bertahan empat bulan

Penularan wabak koronavirus telah memberikan impak besar kepada ekonomi negara khususnya terhadap industri pelancongan negara sehingga mengakibatkan kerugian yang besar.
Gambar kecil dari kiri: Ahmed Razman, Yuhanis
Penularan wabak koronavirus telah memberikan impak besar kepada ekonomi negara khususnya terhadap industri pelancongan negara sehingga mengakibatkan kerugian yang besar. Gambar kecil dari kiri: Ahmed Razman, Yuhanis
A
A
A

SHAH ALAM - Penularan wabak koronavirus telah memberikan impak besar kepada ekonomi negara khususnya terhadap industri pelancongan negara sehingga mengakibatkan kerugian yang besar.

Menurut seorang sumber industri perhotelan yang enggan dinamakan, pihaknya terpaksa melakukan usaha penjimatan kos bagi membolehkan perniagaan mereka mampu bertahan dalam tempoh empat bulan lagi.

Antara langkah-langkah drastik yang telah diambil ialah dengan mengurangkan pekerja termasuk mengecilkan operasi menerusi penutupan bilik-bilik hotel serta pendingin hawa.

"Apa yang berlaku kini bukan sahaja pelancong asing terutama dari China telah membatalkan tempahan mereka malah jumlah pelancong tempatan juga tidak lagi membuat tempahan hotel.

"Penularan wabak ini turut memberi kesan besar kepada perniagaan lain seperti kereta sewa, agensi pelancongan dan juga pusat-pusat pelancongan tempatan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Dalam pada itu, Timbalan Dekan Pengajian Siswazah dan Antarabangsa Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Yuhanis Ab Aziz berkata, wabak koronavirus adalah satu senario global dan impak tersebut dilihat akan menjejaskan industri pelancongan terutamanya bagi suku pertama tahun ini.

Beliau berkata, industri pelancongan pula merangkumi pelbagai sektor antaranya sektor pengangkutan, perhotelan, agensi pelancongan, restoran termasuk pusat perniagaan dan apabila terjejas ia memberi kesan yang sangat besar dalam seluruh ekosistem perniagaan atau sektor tersebut.

Menurutnya, dalam tempoh hampir dua bulan wabak koronavirus ini melanda negara, jumlah pelancong yang masuk ke negara dilihat semakin berkurang, banyak tempahan hotel untuk persidangan dan mesyuarat dibatalkan.

Artikel Berkaitan:

Selain itu perjalanan ke luar negara juga berkurang dan perjalanan domestik khususnya pada musim cuti sekolah akan datang juga dijangka terjejas kerana kebanyakan orang masih takut dan bimbang untuk keluar ke tempat awam termasuk pusat beli-belah.

"Pelancong menjadi sangat berhati-hati dan tidak mahu datang ke Malaysia. Apabila pelancong tidak datang, pendapatan negara akan terjejas terutama dari segi pertukaran mata wang asing yang masuk, pendapatan yang diperoleh dari penginapan dan restoran termasuk perbelanjaan yang sepatutnya mereka lakukan di sini.

"Sedangkan semua itu sangat penting untuk ekonomi pelancongan kerana industri pelancongan adalah sektor perkhidmatan kedua terbesar negara," katanya.

Beliau berkata, dalam konteks perniagaan lain, pengurusan rantaian bekalan di hotel juga turut menerima kesan kerana banyak makanan mentah serta makanan dalam tin diimport dari luar negara termasuk China.

"Ia akan mengganggu dalam proses penyediaan makanan serta operasi perniagaan restoran lain dan kemudiannya menyebabkan kos menjadi semakin mahal kerana wujud ketidakpastian dalam pengendalian perniagaan," katanya.

Yuhanis berkata, selain industri pelancongan, industri pendidikan juga terkena tempias wabak tersebut apabila berlaku pengurangan bilangan pelajar asing yang menyambung pengajian ke dalam negara.

Menurutnya, sebagai contoh di UPM, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan merupakan fakulti yang sangat popular dan menjadi pilihan pelajar-pelajar dari China.

"Biasanya kita menerima ratusan pelajar dari China tetapi apabila keadaan ini berlaku, kita dapat lihat kesannya. Saya jangkakan bilangan pelajar yang sepatutnya masuk mendaftar minggu ini akan berkurang dan mungkin akan ada yang menangguhkan pengajian bagi semester ini.

"Walaupun UPM adalah universiti awam tetapi kita juga menjana pendapatan sendiri serta mempunyai Indeks KPI (Petunjuk Prestasi) bagi pengambilan pelajar antarabangsa yang perlu dipenuhi. Jadi dalam konteks industri pendidikan sudah tentu akan terjejas," katanya.

Ketika ditanya sama ada keadaan ekonomi terjejas itu akan berterusan dalam tempoh beberapa bulan akan datang, Yuhanis berkata, suasana itu mungkin akan berterusan tetapi bukan dalam jangka masa yang panjang.

"Saya jangkakan keadaan ekonomi bagi industri pelancongan akan mula pulih menjelang penghujung suku kedua tahun ini dan pelancong dijangka akan masuk semula ke negara pada suku ketiga tahun ini.

"Saya optimis keadaan akan semakin baik menjelang pertengahan tahun ini kerana kesedaran di kalangan rakyat terhadap wabak ini dilihat semakin meningkat di mana mereka tidak keluar ke tempat awam bila tidak perlu, memakai topeng dan mengamalkan penjagaan kebersihan yang baik.

"Malah syarikat-syarikat penerbangan juga turut membuat sekatan perjalanan ke China selain tindakan-tindakan lain yang dibuat oleh kerajaan dalam menangani isu wabak koronavirus juga sangat banyak," katanya.

Sementara itu, Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff dari Putra Business School (PBS) turut senada dengan Yuhanis dan memberitahu, wabak tersebut memang memberi impak ketara kepada ekonomi negara, namun percaya keadaan itu akan pulih dalam tempoh beberapa bulan lagi.

Menurutnya, penularan wabak ini baharu berlaku dalam tempoh dua bulan, jadi ia masih belum dapat mengukur sejauh mana kesannya terhadap ekonomi terutamanya dalam industri pelancongan negara.

"Tetapi itu tidak bermakna kita perlu menunggu data atau statistik keluar, baru hendak mengambil tindakan menanganinya. Kerajaan boleh mengambil pendekatan awal seperti dilakukan China yang dilihat menyuntik dana sebanyak RM91 bilion ke dalam pasaran bagi memastikan ekonomi domestik mereka terus berjalan.

"Di Malaysia umpamanya kerajaan boleh melakukan perkara sama dengan menyuntik dana kepada industri yang terjejas seperti pelancongan dengan memberi kemudahan pembiayaan kewangan melalui agensi tertentu bagi membolehkan mereka terus berdaya saing kerana dalam situasi kekurangan pelancong dan pelanggan, boleh menyebabkan mereka menghadapi masalah untuk menampung kos operasi.

"Bantuan ini sekurang-kurangnya dapat membantu mereka untuk terus 'survive' sementara menunggu ekonomi kembali pulih," katanya.

Selain itu katanya, suntikan dana oleh kerajaan juga boleh dilakukan dalam bentuk mempromosikan lagi perniagaan di Malaysia untuk menggalakkan aktiviti ekonomi bukan sahaja di dalam tetapi juga di luar negara.