Koronavirus: Dua kes baharu di Singapura, dua dibenar pulang

Orang ramai memakai topeng muka menunggu di persimpangan pejalan kaki di Singapura. Foto: AFP
Orang ramai memakai topeng muka menunggu di persimpangan pejalan kaki di Singapura. Foto: AFP
A
A
A

SINGAPURA - Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) hari ini mengesahkan dua lagi kes baharu positif koronavirus dikesan di republik itu menjadikan keseluruhannya kepada 47 kes.

Menurut maklumat terkini MOH, satu daripada kes positif terbaharu itu melibatkan seorang lelaki berstatus Penduduk Tetap Singapura yang menetap di Johor Bahru dan bekerja di Resorts World Sentosa Casino, 8 Sentosa Gateway.

Kementerian itu dalam kenyataan berkata, lelaki itu tiada rekod perjalanan ke China baru-baru ini dan dia sekarang ditempatkan di bilik isolasi di Pusat Kebangsaan bagi Penyakit Berjangkit (NCID).

Menurut kenyataan itu, lelaki itu dilaporkan mengalami gejala itu pada 5 Februari dan mendapatkan rawatan di klinik perubatan umum (GP) pada 9 Februari.

Beliau dipindahkan ke Hospital Tan Tock Seng menaiki ambulans pada hari yang sama dan segera ditempatkan di bilik isolasi sebelum keputusan ujian mengesahkan jangkitan virus itu pada 10 Februari.

Kes baharu yang lain melibatkan seorang lelaki warga Bangladesh berusia 39 tahun yang merupakan pemegang Pas Pekerjaan Singapura dan tiada rekod perjalanan ke China baru-baru ini.

Dia merupakan kontak Kes ke-42, lelaki warga Bangladesh berusia 39 tahun yang dijangkiti virus itu pada 8 Februari.

Sebelum dimasukkan ke hospital, beliau bekerja di 10 Seletar Aerospace Heights, lokasi sama Kes 42 bekerja.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, MOH berkata, dua lagi kes positif telah dibenarkan keluar hospital hari ini menjadikan jumlah yang sembuh sepenuhnya daripada jangkitan seramai sembilan orang.

Menurut kementerian itu, daripada 25 kes jangkitan tempatan, siasatan epidemiologi dan pengesanan kontak menunjukkan terdapat hubungan antara 15 kes dengan tiga kes kluster yang diketahui setakat ini.

Kluster berkenaan berkait dengan Life Church and Missions Singapore, kedai barangan kesihatan Cina Yong Thai Hang dan mesyuarat perniagaan yang diadakan di Grand Hyatt Singapura dari 20 hingga 22 Januari lepas.

Menurut MOH, sehingga kini daripada 38 kes positif jangkitan virus itu yang masih berada di hospital, kebanyakan mereka stabil atau semakin pulih manakala tujuh berada dalam keadaan kritikal. - Bernama