Polis nafi kes tular kanak-kanak maut dalam pergaduhan

No Image Caption
A
A
A

SUNGAI PETANI - Polis menafikan kejadian seorang kanak-kanak yang dipukul sehingga mati semasa sambutan perayaan Thaipusam di sini seperti mana tular di media sosial.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, tiada pergaduhan melibatkan kematian di daerah ini seperti mana dilaporkan menerusi laman sosial Twitter.

Menurutnya, pihaknya menegaskan agar orang ramai tidak mereka cerita atau menyebarkan cerita tidak sahih termasuk di laman sosial.

"Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda menafikan kejadian pergaduhan melibatkan kematian kanak-kanak semasa Thaipusam tahun ini," katanya.

Beliau berkata, pihaknya mendapati satu artikel melalui Twitter mengatakan 'sembahyang di Sungai Petani gaduh budak kena pukul mati on spot' telah tersebar pada hari ini kira-kira jam 11 pagi tadi.

"Selepas semakan dibuat, kita dapati tiada pergaduhan melibatkan kematian semasa upacara sembahyang pada tahun ini," katanya.

Shamsudin berkata, setakat ini pihaknya telah menahan tiga lelaki berusia antara 23 hingga 27 tahun yang direman selama empat hari sehingga 13 Februari 2020 kerana menularkan berita tidak sahih.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 324/148 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, untuk maklumat orang ramai, perayaan Thaipusam di Sungai Petani pada tahun ini berjalan lancar.

Bagaimanapun katanya, hanya terdapat satu insiden pergaduhan membabitkan dua mangsa cedera ringan.