X

Kindly register in order to view this article
!

Koronavirus: Kerajaan tidak bercadang lanjutkan tempoh inkubasi

Dzulkefly pada sidang media di Putrajaya hari ini berhubung perkembangan terkini koronavirus.
A
A

PUTRAJAYA - Malaysia tidak bercadang untuk melanjutkan tempoh inkubasi koronavirus sehingga 24 hari.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, tiada keperluan untuk mengambil tindakan itu sehingga mendapat pengesahan daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan penyelidik tempatan.

"Kami terpaksa mengekalkan pendirian (untuk mengekalkan 14 hari sebagai tempoh inkubasi)," katanya.

Menurutnya, pelbagai penyelidikan sedang dilakukan dan dapatannya akan dibentangkan.

"Buat masa sekarang, kami pendekatan tentatif atau sementara sehingga mendapat pengesahan.

"Inkubasi 24 hari akan menimbulkan pelbagai implikasi," katanya pada sidang media perkembangan terkini koronavirus di kementeriannya di sini hari ini.

Terdahulu, Agensi melaporkan data terbaharu berdasarkan penyelidikan membabitkan lebih 1,000 pesakit koronavirus di China mendapati tempoh inkubasi virus itu boleh mencecah 24 hari bukannya 14 hari seperti yang dipercayai sebelum ini.

Kajian oleh sekurang-kurangnya 36 penyelidik dari hospital dan institusi perubatan di China itu mendapati kurang separuh daripada mangsa terbabit menunjukkan simptom dijangkiti virus itu apabila pertama kali bertemu doktor.

Mengulas mengenai perkembangan terkini wabak itu di negara ini, beliau berkata, tiada kes baharu dilaporkan.

"Kes positif kekal 18," katanya.

Menurutnya, sebanyak 106 kontak rapat telah dikenalpasti.

"Daripada jumlah itu, 60 kontak rapat terdiri daripada warga tempatan manakala 46 lagi warga China," katanya.