Beri keterangan: Tiada keperluan peguam Ustaz Wadi Annuar hadir

Pada Selasa, Sinar Harian melaporkan Ustaz Wadi Annuar mendakwa JAIPs tidak memberi kerjasama apabila tidak membenarkan kehadiran peguamnya ketika beliau menghadiri sesi siasatan di JAIPs pada Selasa.
Pada Selasa, Sinar Harian melaporkan Ustaz Wadi Annuar mendakwa JAIPs tidak memberi kerjasama apabila tidak membenarkan kehadiran peguamnya ketika beliau menghadiri sesi siasatan di JAIPs pada Selasa.
A
A
A

KANGAR - Tiada keperluan untuk peguam kepada penceramah bebas, Ustaz Mohamad Wadi Annuar Ayub berada bersama anak guamnya dalam sesi keterangan di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs) pada Selasa, kata Pengarah JAIPs, Najmuddin Abdul Karim.

Beliau berkata, ia memandangkan sesi terbabit bukanlah perbicaraan mahkamah.

Najmuddin memaklumkan, pihaknya memang ingin mengambil keterangan penceramah bebas itu namun hanya mahukan beliau (Ustaz Wadi) seorang sahaja yang berada di premis JAIPs.

"Kita (JAIPs) tidak dapat ambil keterangannya kerana dia (didakwa) menghilang diri.

"Dipercayai (beliau) sudah pulang ke Kompleks Pendidikan Matin di Kangar," katanya kepada pemberita pada Selasa.

Najmuddin menerangkan, kehadiran peguam pendakwah bebas itu ke dalam bangunan JAIPs diberikan atas budi bicara pegawai penyiasat JAIPs.

Bagaimanapun, kata beliau, JAIPs mendapati peguam pendakwah itu tetap berkeras untuk berada bersama anak guamnya sehingga proses mengambil keterangan itu terganggu.

Menurut Najmuddin, Ustaz Wadi ada memaklumkan dia pernah ke Bukit Aman untuk siasatan sambil ditemani peguamnya dan tiada masalah mengenai sesi terbabit namun itu melibatkan kes lain.

"Kita di sini bukan nak soal siasat sangat dia tetapi lebih kepada hendak merekodkan keterangan berhubung kejadian tempoh hari," katanya.

Disebabkan itu, beliau berkata, pihak JAIPs tertanya-tanya mengapa peguam penceramah perlu ada bersama ketika sesi memberi keterangan dengan jabatan berkenaan.

"Dalam hal ini juga, kita terikat dengan budi bicara pegawai penyiasat sama ada dia benarkan atau tidak kehadiran peguam berkenaan ke premis kita," katanya.

Ujar beliau, JAIPs buat masa ini masih belum membincangkan lagi penjadualan semula kehadiran untuk diambil keterangan penceramah bebas itu.

Pada Selasa, Sinar Harian melaporkan Ustaz Wadi Annuar mendakwa JAIPs tidak memberi kerjasama apabila tidak membenarkan kehadiran peguamnya ketika beliau menghadiri sesi siasatan di JAIPs pada Selasa.

Sesi itu dijalankan bagi mendapatkan keterangan berhubung penyertaannya pada program Solat Terawih dan Sembang Santai Bersama Ustaz Wadi Annuar tanpa mendapat tauliah daripada Jabatan Mufti Negeri Perlis.

Pada 28 Mac lepas, sekitar 800 hingga 1,000 orang menghadiri program itu di Markaz Tarbiyah Pas Kawasan Kangar, Kompleks Pendidikan MATIN, Kampung Abi, Padang Machang, di sini.

Anggota penguatkuasa JAIPs yang tampil ingin bertemu dengan Ustaz Wadi Annuar untuk mengambil keterangannya selepas majlis itu bagaimanapun dihalang oleh ratusan hadirin termasuk pendakwah bebas, Ahmad Husam Baderudin yang berada di kompleks berkenaan.