Zahid tandatangan 51 cek Yayasan Akalbudi berjumlah RM31 juta: Saksi

Ahmad Zahid
Ahmad Zahid
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menandatangani 51 keping cek berjumlah RM31 juta milik Yayasan Akalbudi yang digunakan untuk membuat beberapa pembayaran termasuk kegunaan peribadi.

Pengurus Affin Bank Cawangan Jalan Bunus, S Rajen Taran, 40, berkata, cek tersebut untuk pembayaran kredit kad AmIslamic Bank dan Maybank, masing-masing berjumlah RM1,300,630.82 dan RM61,406.99 serta insurans dan cukai jalan kenderaan milik Ahmad Zahid sebanyak RM107,509.55.

"Cek itu juga digunakan untuk perbelanjaan pengurusan Persatuan Bola Sepak Polis Diraja Malaysia pada November 2015 sebanyak RM1.3 juta, TS Consultancy & Resources bagi kerja-kerja pendaftaran pengundi berjumlah RM360,000.

"Ahmad Zahid juga mengeluarkan cek RM10 juta untuk meminjamkan dana itu kepada syarikat pengimport dan pembekal arang batu iaitu Armada Holdings Sdn Bhd serta 'Bankers Cheque' berjumlah RM17,953,185.21 kepada pemegang amanah Yayasan Akalbudi, Messrs Lewis & Co," katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Lee Keng Fatt.

Saksi pendakwaan ke-27 itu berkata demikian pada hari ke-13 perbicaraan kes Ahmad Zahid, bekas Timbalan Perdana Menteri yang berdepan 47 pertuduhan melibatkan dana Yayasan Akalbudi berjumlah jutaan ringgit.

Sebelum ini, ejen insurans syarikat Allianz General Insurance, Ahmad Izhan Abd Rashid, 40, yang merupakan saksi pendakwaan ke-14 memberitahu mahkamah bahawa Ahmad Zahid membayar RM107,509.55 untuk membayar cukai jalan dan insurans bagi 20 kenderaan miliknya.

Pada 11 Disember tahun lepas, saksi pendakwaan ke-21, Ketua Pegawai Eksekutif Armada Holdings Sdn Bhd Datuk Wasi Khan @ Wasiyu Zama Israr, 50, pula memberitahu mahkamah bahawa pihaknya menerima dana berjumlah RM10 juta daripada Ahmad Zahid.

Ahmad Zahid, 67, menghadapi 47 pertuduhan, dengan 12 daripadanya bagi pecah amanah (CBT), lapan bagi rasuah dan 27 bagi pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Artikel Berkaitan:

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. - Bernama