X

Kindly register in order to view this article
!

Jangan sebar isu sensitif di media sosial

Sikap mudah mesra Ken Hwa menyebabkan dia senang didekati semua kaum.
A
A

PERPADUAN antara rakyat Malaysia yang terdiri daripada berbilang kaum merupakan antara keistimewaan paling mahal yang ada di negara ini.

Hubungan harmoni yang terjalin antara semua kaum akan lebih memperkukuhkan lagi kedaulatan dan pembangunan negara.

Penting untuk semua rakyat Malaysia bagi memastikan perpaduan yang terjalin terus dipelihara agar ia dapat terus dinikmati generasi akan datang.

Asas paling penting dan mudah ialah masyarakat seharusnya menghentikan penyebaran persepsi negatif dalam konteks agama dan kaum terutama di media sosial.

Exco Perpaduan, Penerangan dan Integrasi Nasional Negeri Sembilan, Choo Ken Hwa berkata, banyak isu sensitif sengaja ditimbulkan oleh sesetengah pihak yang mempunyai kepentingan.

“Kita sudah tahu ia tidak baik dan boleh mengguris hati kaum lain, jadi jangan diapi-apikan lagi dengan sebarkannya terutama di media sosial.

“Bila begitu, ia akan mewujudkan rasa marah dan suasana tidak baik dalam kalangan kita yang akhirnya akan mewujudkan kebencian,” katanya.

Menurutnya, rasa kebencian itu akan lebih terserlah apabila setiap kaum mula merasakan kepentingan, hak dan kebajikan mereka terjejas dan tercabar.

“Sepatutnya semua orang harus berbangga dengan perbezaan fahaman dan agama yang ada di negara ini kerana sehingga hari ini, kita dapat hidup dalam suasana aman dan harmoni.

“Bagi saya perbezaan antara kita itu perlu ditangani secara matang, diplomasi dan terbuka tanpa menyentuh sensitiviti agama dan kaum masing-masing,” katanya.

Katanya, rasa sangsi, curiga dan ketidakpuasan hati antara kaum yang diterjemahkan secara berlebihan hanya akan mewujudkan ketidakstabilan dan persengketaan sehingga akhirnya merugikan negara kita sendiri

Ken Hwa berpendapat kepelbagaian kaum di Malaysia adalah sesuatu yang unik.
Ken Hwa berpendapat kepelbagaian kaum di Malaysia adalah sesuatu yang unik.

Ken Hwa yang juga ADUN Lukut berkata, bangsa Malaysia perlu meletakkan diri sebagai satu keluarga besar yang tinggal di ‘rumah’ yang sama.

"Setiap orang akan lebih bertanggungjawab dan sensitif antara satu sama lain sekali gus memastikan perpaduan sesama kita akan terus diperkukuh. Ini tempat tinggal kita, kita perlu bersama menjaganya.

“Bagi saya walaupun kita berbeza dalam banyak perkara, tapi kita adalah sebuah keluarga besar. Cara terbaik untuk kukuhkan perpaduan adalah dengan setiap daripada kita mempunyai semangat penerimaan tinggi antara satu sama lain," katanya.

Menurutnya, sikap itulah yang akan membentuk semangat menghargai perbezaan, kelebihan dan keunikan masing-masing.

“Perkara itu tidak seharusnya dipandang ringan kerana ia memberi kesan tidak baik kepada negara untuk jangka masa panjang.

“Rasanya semua orang tahu yang perpaduan itu adalah tunjang keselamatan, keharmonian dan kemajuan negara.

Menurutnya, perpecahan hanya akan menyebabkan ketidakstabilan ekonomi yang boleh menjejaskan pembangunan negara.

"Jadi, janganlah kita sengaja wujudkan sesuatu isu yang boleh menjejaskan kedaulatan negara,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!