Putera Harry jalani terapi untuk lupakan kematian ibunya

 Putera Harry dilaporkan sedang menjalani terapi bagi melupakan kematian ibunya, Puteri Diana. -Foto Metro.co.uk
Putera Harry dilaporkan sedang menjalani terapi bagi melupakan kematian ibunya, Puteri Diana. -Foto Metro.co.uk
A
A
A

KANADA - Putera Harry dilaporkan sedang menjalani terapi bagi melupakan kematian ibunya, Puteri Diana.

Duke of Sussex memaklumkan mengenai kesihatan mentalnya semasa ucapan pada acara yang ditaja oleh JP Morgan di Miami, lapor New York Post yang memetik sumber.

Menurut sumber, ia adalah kemunculan pertamanya di khalayak ramai selepas beliau dan Meghan mengambil keputusan untuk meninggalkan keluarga diraja dan menetap di Kanada.

"Harry bercakap mengenai kesihatan mental dan bagaimana beliau menjalani terapi sejak beberapa tahun lalu untuk mengatasi trauma atas kematian ibunya.

"Beliau juga bercakap bagaimana insiden itu pada usia kanak-kanak mampu memberi kesan pada dirinya sehingga beliau bertemu seorang pakar sakit mental.

Dalam pada itu, sumber berkata, Harry turut memberitahu keputusan untuk berundur dari sistem keluarga diraja England dengan memberitahu beliau tidak menyesal dengan tindakan itu kerana mahu melindungi keluarganya.

Harry mengakui keadaan menjadi lebih sukar dan beliau tidak mahu Meghan dan anaknya, Archie merasai apa yang dilaluinya ketika kecil.

Ia bukan kali pertama Harry bercerita mengenai kematian ibunya yang maut dalam kemalangan jalan raya di Paris pada tahun 1997.

Artikel Berkaitan:

Pada tahun 2017, Harry telah mendapatkan nasihat kaunseling selepas dua tahun hidup dalam keadaan huru-hara selepas menghabiskan masa lebih dua dekad tidak memikirkan mengenai ibunya.

Terdahulu, Duke of Sussex dan Meghan berkata, tekanan daripada media memberi kesan kepada kesihatan yang telah didokumentari oleh saluran televisyen di England, ITV.