Paparazzi pertikai kenyataan Meghan, Harry

Agensi foto selebriti Backgrid USA Inc mempertahankan jurugambar bebasnya yang menyaksikan kejadian itu dan menafikan bahawa pengejaran itu hampir mencetuskan kemalangan.
Agensi foto selebriti Backgrid USA Inc mempertahankan jurugambar bebasnya yang menyaksikan kejadian itu dan menafikan bahawa pengejaran itu hampir mencetuskan kemalangan.
A
A
A

LOS ANGELES - Jurugambar bebas (paparazzi) di tempat kejadian mempertikaikan kenyataan akaun media sosial milik Putera Harry dan isterinya Meghan yang menyatakan mereka 'hampir kemalangan' akibat dikejar paparazi, lapor agensi berita Jerman (dpa).

Agensi foto selebriti Backgrid USA Inc mengeluarkan kenyataan Khamis mempertahankan jurugambar bebasnya yang menyaksikan kejadian itu dan menafikan bahawa pengejaran itu hampir mencetuskan kemalangan di jalan-jalan di New York City.

Backgrid mendakwa pihaknya telah menyemak foto dan video daripada empat jurugambar bebas yang berada di lokasi pada malam itu, termasuk tiga menaiki kereta dan seorang menunggang basikal.

"Adalah penting untuk dijelaskan bahawa jurugambar ini mempunyai tanggungjawab profesional membuat liputan acara dan personaliti yang patut diberitakan, termasuk tokoh masyarakat," kata Backgrid dalam satu kenyataan yang diberikan kepada L.A. Times.

"Mereka membuat liputan penginapan pasangan itu di New York City, termasuk kemungkinan menghadiri majlis makan malam selepas majlis anugerah. Mereka tidak berniat untuk menimbulkan sebarang kesusahan atau bahaya, kerana satu-satunya alat mereka ialah mereka kamera,” menurut kenyataan itu.

Paparazi yang bekerja untuk Backgrid menuduh satu daripada kenderaan pengiring keselamatan Harry dan Meghan 'memandu dengan cara yang boleh dianggap sebagai melulu'.

Agensi foto itu mendakwa bahawa rakaman video menunjukkan SUV itu 'menghalang jalan-jalan' dan 'diberhentikan oleh polis'.

Jabatan Polis New York mengesahkan dengan L.A. Times pada Khamis bahawa pegawai 'membantu pasukan keselamatan melindungi Duke dan Duchess of Sussex' pada petang itu.

"Kami faham bahawa pasukan keselamatan Putera Harry dan Meghan Markle mempunyai tugas yang perlu dilakukan, dan kami menghormati kerja mereka," kata Backgrid.

"Kami, bagaimanapun ingin menjelaskan bahawa menurut jurugambar di tempat kejadian, tiada kemalangan atau hampir kemalangan semasa kejadian."

Namun, agensi foto itu memaklumkan ia mengambil serius dakwaan Putera Harry dan akan menjalankan siasatan menyeluruh mengenai perkara itu.

Jurucakap Harry dan Meghan menganggap paparazi di New York 'sangat agresif' dan menyifatkan pengejaran itu sebagai 'pengejaran tanpa henti, yang berlangsung lebih dua jam'.

Meghan, suami dan ibunya, telah diekori jurugambar selepas meninggalkan Woman of Vision Awards di Ziegfield Ballroom. - Bernama-dpa