X

Kindly register in order to view this article
!

Bekalan keperluan asas di Johor Bahru mencukupi: KPDNHEP

Salah seorang anggota KPDNHEP melakukan pemeriksaan di sebuah pasar raya di dalam bandar raya ini
A
A

JOHOR BAHRU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor mengesahkan bekalan barangan keperluan asas di sekitar bandar raya ini masih mencukupi dan mudah diperolehi.

Pengarahnya, Mohd Hairul Anwar Bohro berkata, perkara itu dinyatakan menerusi pemeriksaan bekalan dijalankan susulan tular makluman dakwaan warga Singapura berbelanja besar di sini ekoran amaran Kedudukan Sistem Tindak Balas Perebakan Penyakit (DORSCON) yang telah diistihar di negara mereka baru-baru ini.

Beliau berkata, pemeriksaan berkenaan adalah melibatkan sejumlah 1,124 premis diperiksa merangkumi premis di kawasan bandar dan juga luar bandar.

“Kita telah mengambil inisiatif dan tindakan dengan membuat pemeriksaan kedudukan bekalan barangan keperluan di sekitar Johor Bahru, Iskandar Puteri, Pasir Gudang dan Kulai mulai 8 Februari 2020 (Sabtu) sehingga kini.

“Hasilnya, kita dapati bekalan barang keperluan seperti makanan dan keperluan asas adalah mencukupi dan mudah diperolehi. Kementerian juga akan memastikan bekalan keperluan tidak terputus dan dijual pada harga berpatutan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Hairul Anwar berkata, seramai 60 pegawai penguat kuasa telah terlibat secara khusus bagi pemeriksaan ini dan sasaran adalah ke atas lokasi - lokasi yang menjadi tumpuan warga Singapura berbelanja.

“Pemeriksaan ini juga bagi memastikan bekalan barang - barang kawalan seperti gula, minyak masak dan tepung dijual pada harga yang ditetapkan oleh kerajaan.

“Sehingga kini bekalan barangan kawalan adalah mencukupi di semua peringkat pengilang, pemborong dan peruncit,” katanya.

Dalam masa sama, beliau juga memohon kerjasama orang awam untuk segera melaporkan sebarang maklumat atau aduan berkaitan kekurangan bekalan atau kenaikan harga secara tidak munasabah kepada KPDNHEP.

Barangan keperluan asas yang masih mencukupi di sebuah pasar raya di bandar raya ini
Barangan keperluan asas yang masih mencukupi di sebuah pasar raya di bandar raya ini

KPDNHEP melaksanakan pemantauan di Johor sejak Sabtu lepas bagi memastikan tiada pembelian panik barangan isi rumah oleh warga Singapura di negeri itu.

KPDNHEP dalam kenyataan hari ini memaklumkan, pemeriksaan di sekitar Johor Bahru, Iskandar Puteri, Pasir Gudang dan Kulai dilaksanakan untuk memastikan barang kawalan, makanan dan barangan asas yang lain mencukupi untuk kegunaan rakyat Malaysia.

Sebanyak 604 premis telah diperiksa oleh KPDNHEP Johor melibatkan 60 pegawai penguat kuasa sepanjang dua hari operasi dijalankan.

"Data yang diterima oleh kementerian daripada pemborong berkaitan stok barangan kawalan seperti gula, minyak masak dan tepung adalah mencukupi bagi pengguna di negeri Johor," jelasnya.

Menurut KPDNHEP, pemantauan turut dilaksanakan bagi memastikan tiada aktiviti menyorok barangan kawalan dalam kalangan peruncit dan harga dijual mengikut harga yang ditetapkan oleh kerajaan.

Pemantauan itu, jelasnya, dijalankan susulan penularan klip video memaparkan pembelian panik di Singapura selepas kerajaan negara itu menaikkan amaran Kedudukan Sistem Tindak Balas Perebakan Penyakit (DORSCON) dari tahap kuning kepada jingga bagi membendung penularan novel koronavirus 2019 (2019-nCov).

Sementara itu, KPDNHEP Johor menerima 65 aduan berkaitan penjualan penutup hidung dan mulut susulan penularan 2019-nCov.

Menurut kenyataan itu, daripada 187 pemeriksaan yang dijalankan, dua premis menjual barang kawalan tersebut pada harga lebih tinggi dari yang ditetapkan telah dikompaun, masing-masing RM500 dan RM10,000.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!