X

Kindly register in order to view this article
!

Usul undi percaya bertepatan dengan keadaan terkini politik

Muhammad Khalil Abdul Hadi
A
A

SHAH ALAM - Usul undi percaya kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang akan dicadangkan Pas pada sidang Dewan Rakyat bulan depan bertepatan dengan keadaan politik terkini negara.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Burok, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, kecelaruan dan ketidakstabilan politik yang melanda negara harus diperbetulkan.

Justeru, katanya ketidakstabilan politik yang berpanjangan akan merugikan negara terutama dari segi pembangunan, ekonomi, kehidupan sosial seharian rakyat dan pertumbuhan jangka panjang negara.

”Isu peralihan kuasa yang digembar–gemburkan sekarang sebenarnya tidak harus berlaku dan Dr Mahathir wajar diberi peluang untuk mentadbir negara sehingga habis penggal.

”Sebaliknya, isu ini sudah menjadi permasalahan kepada negara dan menjadi perdebatan hangat dalam kalangan rakyat hingga mengusutkan lagi keadaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau yang juga bekas Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat berkata, Pas juga tidak mahu sistem pentadbiran negara menjadi kucar–kacir akibat kekusutan politik ini.

“Pas tidak mahu ada anasir–anasir luar yang mengambil kesempatan dengan ketidaktentuan politik negara sekarang seperti apa yang berlaku di banyak negara sekarang.

“Pas juga tidak mahu berlaku sabotaj mahupun tindakan luar jangka yang mampu melemahkan Dr Mahathir sebagai perdana menteri,” jelasnya.

Ini kerana katanya, Pas memberikan satu solusi yang bertepatan dengan keadaan politik sekarang kerana tidak mahu negara terjerumus dalam pelbagai masalah.

“Apabila usul ini dikemukakan kelak, rakyat mampu melihat dengan jelas siapa sebenarnya menyokong Dr Mahathir dan siapa yang tidak terutamanya dalam kalangan ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH).

“Parlimen adalah kemuncak kuasa dalam negara. Jika ada di antara ahli Parlimen yang secara berselindung bertindak mencatur untuk menjatuhkan Perdana Menteri seperti yang digembar–gemburkan, maka sudah tentu mereka akan mengundi untuk tidak menyokong usul tersebut dan berkemungkinan akan mengemukakan usul susulan seperti undi tidak percaya kepada Dr Mahathir.

”Saya percaya rakyat sedar keadaan politik sekarang tidak membawa apa-apa manfaat kepada mereka. Malah rakyat tidak mahu keadaan seperti ini berpanjangan. Sudahlah berbagai janji tidak ditunaikan serta menyusahkan rakyat, kita tidak mahu ketidakstabilan politik yang berpanjangan akan menyusahkan lagi rakyat,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Usul undi percaya bukan tindakan 'buang tabiat', kata Nasrudin

Semalam, Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Nasrudin Hassan berkata, cadangan Pas untuk mengemukakan usul percaya terhadap Dr Mahathir pada sidang Dewan Rakyat Mac ini bukan satu tindakan ‘buang tabiat’.

Menurutnya, usul percaya kepada Perdana Menteri pernah dikemukakan di Dewan Rakyat pada tahun 1976 oleh Perdana Menteri Ketiga, Tun Hussein Onn dan ia tidak bertentangan dengan Perlembagaan Negara.

Tambahnya, usul undi tidak percaya di Dewan Rakyat pula tidak pernah berlaku di negara ini kecuali di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) melibatkan Ketua Menteri Sarawak pada 1966 dan Menteri Besar Selangor (1976) serta Menteri Besar Kelantan (1977).


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!