Sekolah bermasalah: Kerajaan negeri sedia tapak baharu

Ahmad Faizal (enam, kiri) menyempurnakan gimik perasmian bangunan pentadbiran sekolah berkenaan.
A
A

BATU GAJAH - Kerajaan negeri Perak sedia membantu sekolah-sekolah berhadapan masalah kedudukan mereka khususnya di tengah bandar dengan mencari tapak baharu lebih sesuai.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, kedudukan sekolah berkenaan mungkin tidak lagi sesuai kerana menyebabkan kesesakan jalan raya di dalam bandar raya Ipoh.

Katanya, perkara itu perlu difikirkan demi kebaikan pelajar selain pihak sekolah boleh menambah dana mereka.

"Sekolah-sekolah aliran Cina di pusat bandar hari ini ada masalah di mana kita semua sedar kesesakan jalan raya disebabkan kedudukan sekolah dan sebagainya.

"Dalam masa sama, saya juga memikirkan anak-anak yang belajar di sekolah-sekolah tersebut melalui perjalanan yang jauh untuk bersekolah di dalam bandar raya," katanya kepada pemberita, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Bangunan Pentadbiran Sekolah Jenis Kebangsaan SJK (C) Gunong Hijau, Pusing, di sini.

Hadir sama, Pengasas dan Pengerusi Kumpulan Sunway, Tan Sri Dr Jeffery Cheah.

Ahmad Faizal berkata, kerajaan negeri mengalu-alukan mana-mana syarikat pemaju yang mempunyai perancangan untuk memajukan kawasan itu bagi membantu pihak sekolah.

"Untuk menyelesaikan semua masalah ini, kita fikir mungkin ada baiknya juga syarikat-syarikat pemaju membawa cadangan kepada kerajaan negeri dan pihak sekolah bagaimana boleh membantu memajukan kawasan tersebut.

"Kerajaan negeri boleh bantu menggantikan tapak sekolah tersebut ke lokasi lebih baik dan sesuai untuk pelajar dengan kemudahan-kemudahan lebih baik umpamanya padang sekolah.

Beliau berkata, sekolah-sekolah bermasalah itu juga didapati tidak mempunyai kemudahan seperti padang seperti sekolah lain.

Katanya, melalui pembangunan tersebut pihak sekolah juga boleh menjana pendapatan sekaligus memajukan pendidikan anak-anak Perak.