Bursa Malaysia makin rendah susulan kematian koronavirus meningkat

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR- Bursa Malaysia rendah semasa mengakhiri sesi pagi hari ini memandangkan peningkatan jumlah kes maut akibat jangkitan novel koronavirus 2019 terus melemahkan sentimen pasaran.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 9.48 mata kepada 1,545.01 daripada 1,554.49 ketika ditutup pada Jumaat.

Selepas dibuka 2.58 mata lebih tinggi kepada 1,557.07, indeks tempatan bergerak di antara 1,541.98 dengan 1,557.07 sepanjang dagangan pagi.

Lingkungan pasaran adalah negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 540 berbanding 224 manakala 296 kaunter tidak berubah, 923 kaunter tidak diniagakan dan 36 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 1.42 bilion saham bernilai RM863.12 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd menerusi nota penyelidikannya berkata, ia menjangkakan penularan koronavirus itu kekal menjadi faktor utama dalam menentukan sentimen pasaran.

“Penurunan semula dijangka menjadikan indeks utama disokong di atas paras 1,535. Bagi peningkatan, kenaikan seterusnya terletak pada paras 1,570,” menurutnya.

Di peringkat rantau, Indeks Hang Seng Hong Kong turun 0.77 peratus kepada 27,193.17, Indeks Straits Times Singapura susut 0.56 peratus kepada 3,163.76 dan Indeks Komposit Jakarta kurang 0.66 peratus kepada 5,959.72.

Artikel Berkaitan:

Antara saham berwajaran tinggi di Bursa Malaysia, Maybank turun satu sen kepada RM8.50, Tenaga kurang 22 sen kepada RM12.52, Public Bank susut 10 sen pada RM18.24 dan Petronas Chemicals menguncup enam sen kepada RM6.39.

Bagi saham aktif, ARB turun setengah sen kepada sembilan sen, Securemetric naik setengah sen kepada 21.5 sen dan MTouche menokok dua sen kepada 18.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 68.33 mata kepada 10,991.84, Indeks FBM Emas Syariah kurang 76.91 mata kepada 11,689.30 dan Indeks FBMT 100 susut 67.25 mata kepada 10,793.47.

FBM 70 merosot 89.89 mata kepada 13,734.78 manakala FBM Ace naik 9.50 mata kepada 5,531.28.

Mengikut sektor, Indeks Barangan dan Perkhidmatan Perindustrian kurang 0.68 mata kepada 144.70, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 94.63 mata kepada 14,886.53 dan Indeks Perladangan turun 20.17 mata kepada 7,287.74.- Bernama