Emosi punca kerja sering tertangguh

Gambar hiasan -Foto 123rf
Gambar hiasan -Foto 123rf
A
A
A

ESOKLAH buat masih sempat lagi, gumam penulis dalam hati tatkala minda dan jiwa berperang untuk menyiapkan tugasan yang diarahkan oleh editor. Kesudahannya, otak dipaksa bekerja keras dalam pecutan terakhir menuju tarikh akhir (deadline).

Penulis yakin pasti ramai yang pernah bertangguh dalam melakukan sesuatu tugasan. Tabiat buruk itu sering dikaitkan dengan pengurusan masa yang lemah. Namun terdapat kajian luar negara yang mengatakan ia juga melibatkan faktor emosi.

Profesor Psikologi Universiti Sheffield, United Kingdom, Dr Fuschia Sirois berkata, ramai terjebak dalam kitaran kronik bertangguh kerana tidak mampu menguruskan perasaan negatif yang disebabkan sesuatu tugasan yang diterima.

Sirois berkata, bertangguh itu bukan kelemahan menguruskan masa tetapi cara menghadapi emosi mencabar dan perasaan negatif contohnya kebosanan, kebimbangan, keraguan diri dan sebagainya yang datang bersama sesuatu tugasan.Pendapat itu turut disokong Profesor Psikologi Universiti Carleton di Ottawa, Kanada, Dr Tim Pychyl.

Katanya, bertangguh merupakan masalah pengawalan emosi, bukan masalah pengurusan masa.

Kajian bersama Dr Pychyl dan Dr Sirois turut mendapati penangguhan lebih tertumpu pada keperluan segera menguruskan perasaan negatif berbanding melakukan tugasan yang sepatutnya dilaksanakan.

Contoh perasaan negatif berkaitan tugasan adalah mempersoalkan kemampuan diri dalam menghasilkan kerja yang terbaik dan adakah ia boleh diterima ramai.Jadi apakah cara untuk menguruskan perasaan negatif yang mencetuskan tabiat bertangguh?

Menurut Dr Pychyl, jangan tunggu sehingga anda mempunyai mood untuk melakukan sesuatu pekerjaan. Mulakan sahaja langkah pertama dan motivasi untuk menyudahkan tugasan itu akan menyusul.

Artikel Berkaitan:

Jadikan godaan untuk bertangguh itu lebih sukar. Penerbit buku Better Than Before: What I Learned About Making and Breaking Habits, Gretchen Rubin berkata, adalah lebih mudah untuk mengubah situasi berbanding diri sendiri. Contohnya, jika kita kerap melayari media sosial, buang aplikasi tersebut atau mungkin gunakan password yang lebih sukar pada telefon.

Selain itu, cari aspek positif dalam tugasan yang kita tangguhkan, buat perancangan dan persediaan awal yang akan memudahkan kita untuk memulakan tugasan tersebut.

Sekiranya berasa buntu, mulakan dengan komitmen untuk menyudahkan kerja yang mudah dan tuliskannya. Selesaikannya dan beri ganjaran kepada diri sendiri. Hanya tulis tugasan yang betul-betul anda rasa boleh disiapkan dan patuhinya tanpa sebarang alasan. Lama-kelamaan anda akan mampu membina semula keyakinan diri dan akan benar-benar melaksanakan apa yang anda katakan.

Fokus kepada apa yang mahu anda lakukan dan bukannya apa yang anda mahu elak. Fikir tentang sebab-sebab produktif melakukan sesuatu tugasan itu dengan menetapkan matlamat untuk diri sendiri.

Pastikan matlamat tersebut realistik. Mencapai matlamat dan mengubah tabiat memerlukan masa dan usaha, jangan sabotaj diri anda dengan jangkaan tidak realistik yang tidak boleh anda capai.

Memecahkan tugas besar kepada pecahan-pecahan kecil juga merupakan langkah yang baik. Contohnya, ambil sedikit masa mencatat idea yang terlintas tentang sesuatu topik atau meneliti bahan bacaan berkaitan. Ini dapat memudahkan kita menyelesaikan tugasan kerana sebahagian bebanan telah dialih.Ironinya, kita bertangguh untuk mengelak perasaan negatif namun akhirnya dibebani perasaan lebih teruk. Penangguhan adalah contoh terbaik kecenderungan kita untuk mengutamakan keperluan jangka pendek berbanding keperluan jangka panjang.

Tabiat bertangguh turut mempunyai impak negatif terhadap kesihatan mental dan fizikal seseorang. Tekanan seperti rasa bersalah dan kekesalan kerana gagal menyiapkan sesuatu tugasan itu lebih awal pastinya membawa kesan buruk terhadap diri.

Untuk makluman, artikel ini ditulis selepas penulis menghabiskan kira-kira 10 minit melayan video kucing di YouTube tapi mujurlah penulis segera tersedar. Sama-samalah kita ubah diri ke arah lebih baik, Ganbatte! Buat yang terbaik.