Bayi lima bulan perlukan dana RM67,000 untuk pembedahan jantung
BUKIT MERTAJAM - Bayi lelaki berusia lima bulan yang mengalami kecacatan jantung kongenital, Nadhif Idlan Mohamad Iskandar memerlukan dana RM67,000 daripada orang ramai bagi membiayai kos pembedahan.
Pengerusi badan amal, One Hope Charity & Welfare, Datuk Chua Sui Hau berkata, bayi dari Kuala Kurau, Perak itu perlu menjalani pembedahan dengan segera demi menyelamatkan nyawanya.
Menurutnya, Nadhif Idlan kini bergantung alat bantuan oksigen di hospital kerana sukar bernafas sendiri selain mengalami sianosis atau jari kebiruan.
“Masalah itu dikesan selepas dia berusia empat bulan apabila doktor mendapati bayi tersebut mengalami kecacatan septum atrium (ASD) dan kecacatan septum ventrikel (VSD) semasa pemeriksaan lanjut akibat batuk.
“Dadanya akan berlekuk semasa bernafas dan jika alat bantuan oksigen dilepaskan, lekuk akan menjadi lebih dalam,” katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.
Sui Hau berkata, ibu kepada bayi terbabit, Nur Nazirah Abdul Samat, 26, terpaksa berhenti bekerja kilang demi menjaga anak di hospital dan memberi perhatian kepada anak kedua dia dengan pasangan, Mohamad Iskandar Zainol Abidin, 26.
“Bapanya juga bekerja kilang dengan gaji pokok sekitar RM1,500 sebulan dan turut menanggung anak lelaki sulung berusia dua tahun.
“Pasangan itu hanya mampu membayar RM3,000 bagi pembedahan, namun memerlukan bantuan orang ramai sebanyak RM67,000 untuk kos keseluruhan RM70,000,” katanya lagi.
Beliau berkata, pihaknya akan membantu mengumpul dana selepas mendapat permohonan daripada pasangan itu yang tampil ke pejabat One Hope Charity & Welfare di sini.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun Public Bank Berhad atas nama One Hope Charity & Welfare bernombor 3193433435 atau layari www.onehopecharity.org.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!