‘Deal of the Century' tak dapat diterima, tak adil: Dr Mahathir

Dr Mahathir bercakap pada sidang media Persidangan Ketiga Liga Parlimen Al-Quds di sini hari ini. - Foto: Bernama
Dr Mahathir bercakap pada sidang media Persidangan Ketiga Liga Parlimen Al-Quds di sini hari ini. - Foto: Bernama
A
A
A

PETALING JAYA - [DIKEMASKINI] Dalam nada kritikan pedas terhadap ‘Deal of the Century', Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir berkata, ia akan hanya meneruskan dominasi pendudukan seperti dasar aparteid ke atas rakyat Palestin.

“Malaysia mendapati cadangan itu tidak dapat diterima dan amat tidak adil,” kata Dr Mahathir ketika menyatakan cadangan pelan damai itu tidak mendekatkan usaha melahirkan sebuah negara Palestin yang berdaulat.

Memburukkan lagi keadaan katanya, ia menyerahkan bandar suci Jerusalem dengan mudah kepada pihak Israel tanpa mempedulikan perasaan jutaan umat Islam dan Kristian di seluruh dunia.

“Perkara ini hanya akan membawa lebih banyak konflik di rantau ini dan kemarahan berbilion masyarakat di seluruh dunia,” katanya ketika merasmikan Persidangan Ketiga Liga Parlimen Al-Quds di sini hari ini.

Dr Mahathir berkata, ia satu tawaran berat sebelah yang dipelopori oleh Amerika Syarikat dan Israel tanpa konsultasi dengan Palestin dan menolak usaha untuk membawa keamanan ke Palestin.

“Pelan keamanan ini hanya mengiktiraf kuasa besar yang melakukan pendudukan dan pada masa yang sama mengetepikan hak mereka yang ditindas," kata Perdana Menteri.

Beliau berkata, memang mengecewakan apabila setelah tujuh dekad hanya satu pihak daripada Two-Side Solution telah dibentuk Israel sedangkan rakyat Palestin masih lagi ketinggalan bergelut menuntut keadilan, keamanan dan sebuah negara berdaulat mereka sendiri.

Dr Mahathir berkata, rayuan rakyat Palestin menjadi tumpuan isu kepada ramai komuniti antarabangsa tanpa mengira agama, bangsa dan negara.

Artikel Berkaitan:

“Dengan mengambil berat isu itu sebagai tanggungjawab kita masyarakat dunia dengan memastikan isu itu tidak diremehkan, digugurkan atau disembunyikan di bawah permaidani," katanya.

Merujuk kepada beberapa resolusi Bangsa-bangsa Bersatu yang diluluskan dan berpihak kepada rakyat Palestin, Dr Mahathir berkata, apa gunanya jika satu demi satu resolusi diterima pakai tetapi mereka boleh diabaikan dengan bebas tanpa sebarang hukuman.

"Lebih teruk lagi, apabila apa yang sebalik daripada resolusi itu yang dilaksanakan." katanya kepada kongregasi Ahli Parlimen dunia, kesemua platform yang ada seharusnya digunakan oleh mereka yang berkongsi pemikiran untuk terus menyuarakan kebimbangan dan menyatakan kemarahan mereka terhadap tindakan tidak berperikemanusiaan dan kejam yang telah dilakukan rejim Tel Aviv terhadap rakyat Palestin.

Beliau berkata, kita berkewajipan dan bertanggungjawab ini menjadi lebih kuat lagi apabila negara-negara besar yang menyatakan diri mereka sebagai pembela keadilan dan kebebasan, memilih untuk mendiamkan diri sedangkan kekejaman sedang berlaku.

“Dalam erti kata lain, jika kita memilih untuk senyap, daripada pembunuhan rakyat Palestin oleh Israel juga ada pada tangan kita,” kata Perdana Menteri.

Dr Mahathir menegaskan, Malaysia akan sentiasa menyokong Palestin dan polisi luar terhadap negara itu tidak pernah berubah sejak kemerdekaan Malaysia.

“Ketika Malaysia mahu bersahabat dengan semua negara dan menghormati kedaulatan masing-masing tanpa mengira kepercayaan ideologi, kita mesti terus menyuarakan dan menentang ketidakadilan dan mempertahankan hak mereka yang tertindas,” katanya.

Ketika bercakap kepada media, Dr Mahathir berkata untuk memenangi perjuangan Palestin itu, satu strategi yang betul perlu dibuat dan bertindak dalam keadaan marah dan kecewa, tidak akan dapat membantu usaha Palestin.

“Sebab itulah kami rasakan mesti ada satu strategi yang betul digunakan oleh Palestin dan disokong oleh semua penyokong mereka, dalam usaha untuk memenangi hati dan pemikiran manusia, iaitu perkara ini adalah perjuangan demi keadilan dan keamanan,” kata Perdana Menteri.

Dr Mahathir turut mengkritik tindakan Israel merampas tanah Palestin, menggambarkannya satu ketidakadilan yang besar.

Perdana Menteri mengatakan, apa yang berlaku kepada Yahudi di bawah Jerman Nazi tidak membuatkan mereka lebih simpati atau lebih mengambil kira mengenai isu kesaksamaan dan keadilan.

“Sebaliknya mereka mahu melakukan ketidakadilan terhadap orang lain,” katanya.

Kepada satu soalan, Dr Mahathir menegaskan bahawa isu Palestin adalah satu isu keadilan dan kemanusiaan.

“Ia bukan satu persoalan antara umat Islam dan bukan Islam, agama tidak ada (kaitan) dengannya. Mereka (Palestin) telah dinafikan hak asasi mereka dan saya rasa kita mesti prihatin mengenainya,” katanya.

Turut hadir pada sidang media itu Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof; Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang juga penasihat penganjur persidangan dan presiden Liga Ahli Parlimen Al-Quds, Sheikh Hamid Abdullah Al-Ahmar.