X

Kindly register in order to view this article
!

Tengku Mahkota Kelantan sempurnakan pelancaran TMK 2020

Dr Tengku Muhammad Faiz Petra berkenan menyempurnakan pelancaran Tahun Melawat Kelantan 2020 di Dataran Warisan Pekarangan Stadium Muhammad IV malam tadi. - Foto Bernama
A
A

KOTA BHARU - Tengku Mahkota Kelantan, Dr Tengku Muhammad Faiz Petra berkenan berangkat mencemar duli merasmikan pelancaran Tahun Melawat Kelantan 2020 (TMK 2020) di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu di sini malam tadi.

Ketibaan baginda bersama isteri, Cik Puan Sofie Louise Johansson kira-kira jam 9.10 malam disambut Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob; Timbalannya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, barisan Exco serta pembesar negeri.

Kira-kira 5,000 rakyat segenap lapisan hadir memeriahkan pelancaran berkenaan yang turut diceriakan dengan pelbagai persembahan kebudayaan yang menggambarkan keunikan budaya negeri Kelantan dan turut mencuri tumpuan perarakan 10 buah kereta berhias yang mewakili setiap jajahan.

Sementara itu, Exco Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan Kelantan, Datuk Md Anizam Ab Rahman dalam ucapan aluannya berkata, kerajaan Kelantan melalui Pusat Penerangan Pelancongan Negeri (TIC) merangka 66 program utama sebagai persiapan untuk menerima kedatangan pelancong pada tahun ini, yang akan diadakan di peringkat jajahan, negeri dan kebangsaan.

Antara 66 program utama yang akan dilaksanakan sepanjang TMK 2020 adalah Festival Warisan Makanan Kelate 2020, Pesta Joran Tanah Merah, Pertandingan Perahu Jokong (Sungai Golok), Festival Equine (Kuda) dan Sunnah, Pesta Joran Pantai Timur, Pesta Wau Antarabangsa 2020, Pesta Buah-Buahan dan Pesta Tanglung Kelantan.

“Untuk memastikan sasaran 5.5 juta pelancong dapat dicapai pada tahun ini, kerajaan negeri turut menjalinkan kerjasama strategik dengan pemain dan penggiat industri pelancongan.

Antara rakan strategik TMK 2020 adalah AirAsia, Malaysia Airport Berhad, Firefly, MyCar, Konsortium E-Mutiara, Persatuan Hotel Malaysia dan Persatuan Pemandu Pelancong Berlesen Negeri Kelantan,” katanya.

Anizam berkata, bagi memperkenalkan Kelantan ke persada antarabangsa beberapa promosi lain turut diadakan seperti iklan digital skrin di Kuala Lumpur International Airport 2 (KLIA2) yang dapat dipamerkan kepada seluruh pengunjung yang menggunakan KLIA2 yang dianggarkan seramai 33 juta orang pengguna setahun. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus