‘Pas mahu PH berpecah’

Mohd Azizuddin
Mohd Azizuddin
A
A
A

SHAH ALAM - “Jika Pas sokong pembentukan Pakatan Nasional pasti kerana mahu Pakatan Harapan (PH) berpecah,” kata penganalisis politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani.

Beliau berkata, Pas sudah tentu tahu peluang akan berpihak kepada parti Islam itu untuk membentuk kerajaan, tidak kira melalui ‘pintu depan’ atau ‘pintu belakang’ jika perpecahan itu berlaku.

“Walaupun semalam (kelmarin) Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kata akan ikut ‘pintu depan’ dan ikut saluran demokrasi tetapi sebenarnya pembentukan melalui ‘pintu belakang’ itu pun melalui proses demokrasi juga.

“Pintu belakang pun masih dalam konteks demokrasi sekiranya jumlah ahli Parlimen mencukupi untuk menuntut kerajaan selain PH. Maknanya PH berpecah dan bentuk gabungan lain.

“Cuma sekarang, adakah hubungan yang dibuat akan lebih stabil atau tidak berbanding sekarang?” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini semalam.

ARTIKEL BERKAITAN: Pas secara dasar sokong pembentukan Pakatan Nasional

Kita tetap masuk pintu depan: Abdul Hadi

Mohd Azizuddin berkata, walaupun Pas ialah parti Islam, ia tetap mahukan kuasa memandangkan Pas sebuah parti politik, apatah lagi ia sekarang masih lagi pembangkang.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, jalan untuk menjadikan Pas berkuasa sudah tentu dengan melihat perpecahan PH yang akhirnya boleh menjadi kelebihan buat parti itu.

“Jadi, Pas akan sokong apa saja usaha untuk pastikan PH berpecah,” katanya.

Katanya, tugas PH juga mencabar kerana mereka perlu menyelesaikan isu yang ada termasuk membetulkan keadaan yang dibuat oleh kerajaan terdahulu melibatkan isu salah guna kuasa, rasuah serta ekonomi kerana rakyat mahu melihat kerajaan yang stabil dan tiada krisis politik.

“Jika wujudnya Pakatan Nasional, pakatan baharu itu perlu stabil, jika tidak apa bezanya dengan sekarang?” katanya.