Penjawat awam jadi nelayan sambilan

Md Suzari dan Nor Kartini biasanya turun ke laut di Kuala Perlis dua kali seminggu untuk mendapatkan stok makanan laut.
Md Suzari dan Nor Kartini biasanya turun ke laut di Kuala Perlis dua kali seminggu untuk mendapatkan stok makanan laut.
A
A
A

KUALA PERLIS - Md Suzari Md Suaain dan isterinya, Nor Kartini Othman jarang membeli ikan di pasar, sebaliknya pasangan penjawat awam ini memilih untuk menjadi nelayan sambilan dan turun sendiri ke tengah laut bagi mendapatkan bekalan hasil laut yang segar sejak lebih 10 tahun lalu.

Md Suzari, 51, yang bertugas sebagai Pembantu Awam Unit Operasi dan Penguat Kuasa di Jabatan Perhutanan Perlis berkata, beliau memulakan aktiviti itu sebagai hobi, namun apabila terbiasa, ia menjadi satu kepuasan bagi mereka berdua.

Menurutnya, beliau biasanya turun ke laut setiap dua kali seminggu untuk mendapatkan stok makanan laut, bukan untuk dijual tetapi untuk dinikmati bersama keluarga.

Memiliki lesen sebagai pelaut yang diiktiraf Jabatan Laut Malaysia, beliau layak melakukan aktiviti-aktiviti laut seperti mencandat sotong yang gemar dilakukannya di perairan Pulau Langkawi dan Kuala Perlis.

“Sebagai penjawat awam, masa tidak mengizinkan saya untuk kerap turun ke laut, jadi saya cari masa untuk aktiviti ini pada hujung minggu agar stok bekalan makanan laut segar tidak terputus.

“Saya bukan daripada keluarga nelayan tetapi melihat orang ramai merungut apabila harga pasaran ikan, udang dan sotong yang tinggi berikutan cuaca tidak menentu dan sebagainya, saya rasa kurang senang dan beranggapan mereka tidak tahu menilai kesusahan nelayan mendapatkan hasil laut,” katanya kepada Bernama ketika ditemui pada Pesta Suluh Sotong Perlis 2020 di Tok Kuning di sini baru-baru ini.

Md Suzari mengakui bukan mudah mahu mendapatkan seekor ikan besar di laut seperti jenahak, kerapu dan siakap kerana semuanya memerlukan kesabaran yang tinggi, selain perlu menghadapi risiko cuaca buruk di tengah lautan.

“Saya mempelajari sendiri selok-belok di laut apabila gemar bergaul bersama nelayan, selain aktif memancing bersama rakan-rakan kelab memancing,” kata beliau yang merupakan Timbalan Pengerusi Kelab Memancing dan Rekreasi Negeri Perlis.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Nor Kartini, 47, yang bekerja sebagai pembantu pengurusan murid di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Perlis berkata, beliau mula aktif mengikut suaminya ke laut sejak lima tahun lalu.

“Saya lebih suka mencandat sotong dan paling mengujakan apabila sotong yang berjaya dicandat akan dimasak terus di atas bot,” katanya.

Menurutnya, beliau bersama suami dan tiga orang anaknya sangat menggemari sotong berbanding makanan laut yang lain, justeru mencandat sotong menjadi aktiviti utama mereka.

“Paling banyak kami berjaya candat sebanyak 50 kilogram sotong dalam masa beberapa jam sahaja,” katanya.- Bernama