Tiga beradik pecah masuk rumah jiran

Pintu rumah mangsa yang dipecah masuk di Taman Ayer Keroh Heights, petang semalam.
A
A

MELAKA TENGAH - Tiga beradik tergamak mencuri wang tunai RM10 milik jiran mereka selepas memecah masuk kediaman mangsa di Taman Ayer Keroh Heights, di sini, semalam.

Dalam kejadian lebih kurang jam 3 petang, suspek berusia diantara 14 hingga 23 tahun itu bertindak memecahkan kunci pintu hadapan rumah mangsa yang berusia 27 tahun sebelum meminta lelaki itu menyerahkan wang.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, mangsa yang juga warga Bangladesh memberitahu suspek bahawa dia tidak mempunyai wang dan ketiga-tiga suspek kemudian bertindak menyelongkar dan mengambil barangan di dalam rumah itu termasuk wang RM10 yang disorok di bawah tilam.

Afzanizar Ahmad
Afzanizar Ahmad

Menurutnya, berdasarkan maklumat mangsa yang turut mengenali salah seorang daripada suspek berjaya menahan ketiga-tiga mereka antara jam 8 hingga 10.30 malam tadi oleh polis di depan rumah mereka.

"Hasil pemeriksaan, suspek berusia 22 dan 23 tahun mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan kes pecah rumah, mencuri dalam bangunan dan dadah.

"Dua suspek direman lima hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan manakala seorang lagi berusia 14 tahun tidak direman selepas dibebaskan oleh mahkamah," katanya.