Masyarakat perlu tingkatkan celik ilmu koronavirus

Wacana Sinar Harian Edisi 155 bertajuk Koronavirus: Adakah Kita Lambat Bertindak? berlangsung di Dewan WUI, Kompleks Karangkraf di sini malam tadi.
Wacana Sinar Harian Edisi 155 bertajuk Koronavirus: Adakah Kita Lambat Bertindak? berlangsung di Dewan WUI, Kompleks Karangkraf di sini malam tadi.
A
A
A

SHAH ALAM - Langkah kerajaan melalui Kementerian Kesihatan dalam menangani penularan koronavirus terbukti mengikut piawaian ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Presiden Persatuan Farmasi Malaysia, Amrahi Buang berkata, usaha yang dilakukan sekarang turut mengambil kira pengalaman lampau ketika berdepan virus Nipah, Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) dan Sindrom Pernafasan Timur Tengah (MERS).

Menurutnya, pihak berkuasa di pelbagai peringkat melaksanakan tugasan dengan baik.

"Sekarang yang tinggal adalah individu. Justeru masyarakat perlu pertingkatkan kecelikan ilmu mengenai wabak ini.

"Netizen juga perlu ambil maklum pengalaman kerajaan dalam menangani wabak sebelum ini. Maka tidak perlu panik sebaliknya sentiasa bertenang ketika hadapi situasi sebegini.

"Apa yang kerajaan lakukan adalah seperti ditetapkan standard piawaian antarabangsa termasuk dari segi persiapan dan persediaan yang teratur termasuk di kalangan petugas kesihatan," katanya.

Beliau berkata demikian selaku panelis Wacana Sinar Harian Edisi 155 bertajuk Koronavirus: Adakah Kita Lambat Bertindak? di Dewan WUI, Kompleks Karangkraf di sini malam tadi.

Wacana tersebut turut dibarisi panelis, Ketua Pegawai Pematuhan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Zulkarnain Mohd Yasin dan Doktor Kesihatan Profesional (MBBS), Dr Noordin Darus dengan Sayed Munawwar Sayed Mokhtar Mohd Mustar sebagai moderator.

Artikel Berkaitan:

Amrahi berkata, saintis di negara China juga sedang berusaha melakukan kajian bagi menghasilkan vaksin koronavirus.

Menurutnya, berdasarkan statistik pagi tadi menunjukkan seramai 1,137 pesakit yang dijangkiti virus itu disahkan sembuh di China.

"Maksudnya virus ini akan memberi tindak balas berbeza bergantung pada ketahanan sistem imun seseorang.

"Bukan maknanya bila kena virus ini, kita terus kepada kematian. Sebab itu sekarang kita kena tingkatkan penjagaan kesihatan masing-masing.

"Setiap penyakit akan ada ubatnya maka saya pasti koronavirus ini ada penyelesaiannya. Jadi sekarang kita semua kena bersatu hadapi wabak ini," katanya.