X

Kindly register in order to view this article
!

Minyak sawit: FGV terima manfaat jika Pakistan tambah import

Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan berjanji untuk membeli lebih banyak minyak sawit Malaysia untuk mengimbangi langkah pembeli utama India yang menyekat import dari Malaysia.
A
A

KUALA LUMPUR- FGV Holdings Bhd boleh menjadi penerima manfaat jika bekalan minyak sawit ke Pakistan meningkat berikutan pernyataan minat daripada kerajaan Pakistan untuk mengimport lebih banyak minyak sawit dari Malaysia, kata Pemilik dan Pengasas Bersama Palm Oil Analytics Dr Sathia Varqa.

Beliau berkata, syarikat perladangan itu mempunyai operasi yang besar di Pakistan dan baru-baru ini, mengumumkan kepada Bursa Malaysia bahawa ia meninjau pelaburan baharu di sana.

FGV, melalui anak syarikat 65 peratus miliknya, FWQ Enterprises (Private) Ltd, menandatangani Memorandum Persefahaman dengan Johor Port Bhd pada 3 Januari untuk membeli bersama sehingga 25 peratus pegangan dalam Fauji Akbar Portia Marine Terminal, terminal pukal kering yang beroperasi di Pelabuhan Qasim, Pakistan.

Pada 1980, kumpulan FGV memasuki pasaran minyak makan Pakistan sebagai pembekal olein sawit (minyak sawit ditapis) dan terus membekalkan produk berasaskan minyak sawit berkualiti dalam jumlah yang besar ke negara itu.

Setakat ini, FGV telah melabur sehingga RM98.5 juta di Pakistan, pelaburan terbesar oleh mana-mana kumpulan Malaysia.

“Eksport Malaysia pada Januari 2020 (minyak sawit) ke Pakistan lebih tinggi kepada 141,500 tan berbanding jumlah bulanan yang biasa sebanyak 90,500 tan. Tetapi persoalan sekarang ialah, adakah Pakistan akan mengekalkan pembelian pada jumlah semasa untuk mengimbangi penurunan ke India?” kata Sathia kepada Bernama.

Dalam mesyuarat dua hala dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan berjanji untuk membeli lebih banyak minyak sawit Malaysia untuk mengimbangi langkah pembeli utama India yang menyekat import dari Malaysia.

Selain mengalu-alukan minat Pakistan, Sathia bagaimanapun berasa ragu-ragu sama ada negara itu, yang mempunyai 200 juta penduduk, boleh menggunakan lebih banyak minyak sawit berbanding India, yang mempunyai 1.34 bilion penduduk.

Beliau juga berkata, penggunaan minyak makan oleh Pakistan adalah sekitar 4.50 juta tan setahun manakala India, sebanyak 24 juta tan.

“Oleh itu, secara keseluruhannya saya ragu-ragu Pakistan dapat mengimbangi 2.156 juta tan olein sawit ditapis, diluntur dan dinyahbau (RBD) yang hilang kepada India. Kita juga perlu ingat bahawa Indonesia mempunyai 70 peratus daripada pasaran olein di Pakistan manakala Malaysia mempunyai 30 peratus,” katanya.

Sathia mencadangkan Malaysia dan Pakistan memeterai perjanjian tarif keutamaan khas jika Malaysia meraih sebahagian daripada Indonesia.

Sementara itu, Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia, Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir menyambut baik langkah Pakistan untuk membeli lebih banyak minyak sawit dari Malaysia.

“Kami percaya ini susulan daripada lawatan Menteri Industri Utama, Teresa Kok ke Pakistan bulan lepas. Kami turut berharap dengan usaha kami untuk menjadikan pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia wajib, ia akan membuka lebih banyak pasaran untuk minyak sawit Malaysia.

“Permintaan ini akan mengekalkan harga komoditi itu pada paras yang baik yang merupakan suatu yang baik untuk kira-kira setengah juta pekebun kecil dan keluarga mereka,” katanya.

Delegasi Malaysia yang diketuai oleh Teresa Kok baru-baru ini melawat Pelabuhan Qasim untuk mengukur kemajuan usaha sama antara syarikat-syarikat besar seperti FGV Holdings Bhd, IOI Corporation Bhd dan Kuala Lumpur Kepong Bhd dengan Westbury Group of Pakistan.

Syarikat usaha sama (JV) itu mempunyai lima projek dalam simpanan pukal, penapisan, jeti kargo cecair dan pengekstrakan bijian minyak. Dalam perancangan ialah satu lagi projek untuk menyediakan simpanan komoditi pukal, dijangka beroperasi pada Jun 2020.

Terminal pukal JV itu (kapasiti sebanyak 138,000 tan) mengendalikan 50 peratus daripada import minyak sawit ke Pakistan manakala kapasiti penapisan meningkat dua kali ganda dengan tambahan kilang pengekstrakan.

Parveez juga berkata, delegasi itu turut mengadakan pertemuan dengan Majlis Perniagaan Pakistan-Malaysia dan Persatuan Persahabatan Pakistan-Malaysia, membincangkan isu-isu dan cadangan untuk terus mengukuhkan perdagangan antara kedua-dua negara.

“Kami berjaya membangkitkan isu-isu perdagangan yang dihadapi oleh kedua-dua negara dalam pertemuan lain dengan Razaq Dawood, penasihat kepada Perdana Menteri, Imran Khan.

“Sementara itu, kementerian turut mengambil beberapa langkah yang berkesan bukan hanya untuk mengekalkan pasaran minyak sawit Pakistan tetapi terus meninjau pasaran baharu, iaitu di Amerika Syarikat, Eropah, Afrika, Iran dan China, dengan meningkatkan penggunaan minyak sawit dalam sektor makanan dan bukan makanan,” katanya.

Pada 3:30 petang, saham FGV naik tiga sen kepada RM1.37 dengan 5.41 juta saham diniagakan.-Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus