Perak, Kedah kembali berentap

Mohamad Azlin menunjukkan trofi Unity Shield di Pejabat PAFA, Ipoh semalam.
Mohamad Azlin menunjukkan trofi Unity Shield di Pejabat PAFA, Ipoh semalam.
A
A
A

Dua pasukan dari utara tanah air, Perak dan Kedah akan kembali membuat perhitungan bagi merebut kejuaraan edisi kedua Unity Shield yang bakal diadakan di Stadium Perak, Ipoh Sabtu depan, lapor NOOR AINON MOHAMED YUSOF.

Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Mohammad Azlin Mohd Nazri berkata, aksi 'pemanas badan' itu juga boleh dijadikan sebagai medan terbaik kedua-dua pasukan membuktikan tahap kemampuan masing-masing sebelum bermulanya kempen Liga Malaysia (Liga-M) hujung bulan ini.

“Saya melihat kedua-dua pasukan ini seolah-olah telah memuktamadkan barisan pemain masing-masing, ia (perlawanan Unity Shield) lebih kepada untuk melihat sejauh mana keserasian antara para pemain itu sendiri.

“Inilah masanya setiap pasukan membuat persiapan terbaik sebelum liga bermula. Jadi para pemain harus membuktikan sesuatu pada malam itu nanti,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Pejabat PAFA di Ipoh.

Mohamad Azlin berkata, penganjuran Unity Shield merupakan simbol persahabatan dan hubungan akrab antara PAFA dan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA).

Beliau memberitahu, perlawanan itu juga merupakan medan penyatuan para penyokong Perak dan Kedah, sekali gus memberi peluang untuk mereka melihat sendiri perkembangan skuad masing-masing.

“Selain itu, sebahagian daripada hasil kutipan tiket yang berjaya diraih pada perlawanan tersebut juga akan digunakan bagi membantu bekas-bekas pemain yang pernah beraksi untuk skuad The Bos Gaurus.

“PAFA telah mengenal pasti beberapa bekas pemain Perak yang ingin kami bantu meringankan beban mereka dan akan menerima manfaat daripada hasil kutipan tiket pada hari perlawanan.

Artikel Berkaitan:

"Tiket perlawanan akan dijual pada pada hari perlawanan dengan kadar RM10 bagi teres terbuka dan RM5 untuk kanak-kanak," ujarnya.

Kedah muncul juara edisi sulung Unity Shield selepas melakar kemenangan 2-0 hasil jaringan Fernando Rodriquez dan Syahrul Azwari di Stadium Darul Aman, Alor Setar tahun lalu.