Sukar faham Sains jika tidak fasih Bahasa Inggeris: Tun M

Dr Mahathir Mohamad - Foto Bernama
Dr Mahathir Mohamad - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan sukar untuk memahami subjek Sains sekiranya tidak fasih Bahasa Inggeris berikutan ilmu Sains kebanyakannya dalam bahasa itu.

Dr Mahathir berkata, Sains bukan ilmu statik dan ia menyebabkan sukar untuk difahami diterjemah dan ditafsirkan ke dalam bahasa Malaysia.

"Kita boleh terjemah kepada bahasa kita, tetapi perkataan-perkataan yang diguna bukanlah dalam Bahasa Inggeris biasa. Terjemahan kepada bahasa kita mungkin tidak menggambarkan makna yang sebenar.

"Tiap hari ada sahaja perkara baharu yang dikenali dan diperalatkan," katanya dalam ucapan Majlis Amanat dan Aspirasi Kementerian Pendidikan (KPM) di sini hari ini.

Menurutnya yang juga pemangku Menteri Pendidikan, tidak mungkin pakar Sains yang ada akan menterjemah puluhan kertas dan hasil penyelidikan setiap hari selain Bahasa Inggeris kerap diguna dalam industri.

Dr Mahathir hadir pada Majlis Amanat dan Aspirasi Kementerian Pendidikan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini. - Foto Bernama
Dr Mahathir hadir pada Majlis Amanat dan Aspirasi Kementerian Pendidikan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini. - Foto Bernama

"Tentulah sukar bagi mereka yang tidak memahami Sains dalam Bahasa Inggeris untuk memahami arahan yang diberikan. Hari ini pun kita dapati mereka yang tidak fasih dalam Bahasa Inggeris sukar untuk mendapat peluang pekerjaan.

"Jika kita tidak mempunyai ilmu terbaharu, kita akan ketinggalan. Kita semua tahu hari ini terdapat banyak hasil penyelidikan setiap hari dan perkataan baharu yang dicipta," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, konferensi sains antarabangsa kerap diadakan dengan menggunakan Bahasa Inggeris justeru pertimbangan perlu diberikan demi kemajuan bangsa.

"Jika pakar Sains kita tidak fasih dalam Bahasa Inggeris, maka kita tidak mungkin faham perbincangan yang diadakan. Saya Melayu. Saya sayang kepada bangsa dan bahasa Melayu.

"Sebenarnya jika sayang kepada bangsa, utamakan kejayaan sebagai satu bangsa dan kemajuannya lebih dari hanya kegunaan bahasa sendiri sahaja," katanya.

Minggu lalu, Dr Mahathir menerusi laman YouTube rasminya menyuarakan cadangan mahu mata pelajaran Sains dan Matematik kembali diajar dalam Bahasa Inggeris.

Dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) pertama kali diperkenalkan pada tahun 2003.