'Saya tak mahu susahkan anak'

Yook Lan beramah mesra dengan Burhah (dua dari kanan) dan Shahaniza pada Program Ziarah Muafakat Tahun Baru Cina di Pusat Jagaan Orang- Orang Tua Grannies 2.
Yook Lan beramah mesra dengan Burhah (dua dari kanan) dan Shahaniza pada Program Ziarah Muafakat Tahun Baru Cina di Pusat Jagaan Orang- Orang Tua Grannies 2.
A
A
A

KUANTAN - Seorang wanita berusia lebih 100 tahun memilih untuk menghabiskan sisa hidupnya di pusat jagaan orang tua kerana tidak mahu menyusahkan anak tunggalnya.

Liew Yook Lan, 102, berkata, kemahuannya itu juga didorong oleh perasaan bimbang dengan keadaan dirinya yang sering berseorangan setiap kali anak tunggalnya keluar bekerja.

Menurut warga emas itu, dia tidak mahu membebankan anak lelakinya lalu rela hati tinggal di pusat jagaan tersebut dan setakat ini dia begitu gembira kerana dapat bergaul dengan penghuni yang lain.

"Saya sudah tiga tahun tinggal di sini dan rasa seronok sebab ada ramai kawan. Ada orang boleh jaga dan sekurang-kurangnya saya selamat di sini.

"Kalau tidak, kesian pada anak yang setiap hari risaukan saya terutama pada waktu bekerja. Saya tahu anak bimbang kalau terjadi perkara buruk sewaktu ketiadaannya di rumah. Jadi, saya sendiri nak duduk di pusat ini," katanya ketika ditemui wartawan Sinar Harian sempena Program Ziarah Muafakat Tahun Baru Cina di Pusat Jagaan Orang-Orang Tua Grannies 2 di sini semalam.

Program anjuran Majlis Pembangunan Wanita Pahang dengan kerjasama Unit Pembangunan Wanita Negeri itu turut dihadiri isteri Menteri Besar Pahang, Datin Seri Burhah Mohamed dan Exco Kebudayaan, Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin.

Seramai 24 penghuni pusat jagaan berkenaan menerima angpau daripada Burhah dan Shahaniza pada program itu.

Menurut Yook Lan, dia langsung tidak berasa ralat selepas membuat keputusan untuk tinggal di pusat jagaan tersebut kerana setiap hari dia dikunjungi ahli keluarga yang bertanya khabar.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, situasi itu membuatkan dirinya tidak berasa terpinggir meskipun tidak tinggal sebumbung dengan anaknya.

"Hari-hari anak dan cucu datang tengok saya. Kalau tidak pagi, anak akan singgah melawat pada waktu petang untuk berbual dan bertanya khabar.

"Itu dah buat saya cukup bahagia dengan kehidupan ini kerana saya sudah tua, hanya tunggu sisa-sisa hidup ini berakhir," katanya.

Ditanya mengenai sambutan Tahun Baru Cina yang lalu, Yook Lan berkata, anak dan cucunya memang tidak pernah lupa atau meminggirkan dirinya ketika menyambut perayaan itu.

Mereka akan menyambutnya bersama-sama dan berkongsi kegembiraan itu.

"Setiap tahun anak akan datang ambil saya untuk sambut tahun baru (Tahun Baru Cina)," katanya.