'Bukan kahwin paksa tetapi dijodohkan orang tua' - Mahfuz

Mahfuz (kiri) membidas kenyataanIsmail Sabri yang menganggap kerjasama antara BN dan PH sebagai perkahwinan paksa.
Mahfuz (kiri) membidas kenyataanIsmail Sabri yang menganggap kerjasama antara BN dan PH sebagai perkahwinan paksa.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah, Datuk Mahfuz Omar membidas kenyataan bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menganggap kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) sebagai perkahwinan paksa.

Menurut bekas Ahli Parlimen Pokok Sena itu, kerjasama atau jalinan hubungan berkenaan boleh dianggap sebagai sebuah perkahwinan yang telah diaturkan 'orang tua' yang mempertemukan jodoh PH dan BN.

Dalam masa sama, beliau juga percaya proses 'percintaan' yang berlaku melalui pembentukan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan selain Majlis Pimpinan Perpaduan di Kedah akan membuahkan hasil terutama melalui Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

"Saya penuh yakin (dengan) apa yang saya sebut selama ini, (iaitu kerjasama PH dan BN) ini bukan kahwin paksa, ini adalah perkahwinan hasil jodoh yang dipertemukan oleh orang tua-tua... ‘orang tua’ yang dimaksudkan adalah Yang di-Pertuan Agong.

"Baginda yang mempertemukan jodoh kami dan Insya- ALLAH percintaan selepas pernikahan ini akan lebih intim dan membawa kebahagiaan melibatkan kerukunan rumah tangga.

"Ini adalah agar sampai ke capaian bersama untuk melahirkan Kedah yang hebat pada masa akan datang melalui gabungan ini," ujarnya.

Mahfuz berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Sidang Meja Bulat, Parti-parti Kerajaan Perpaduan Peringkat Negeri Kedah, di Dewan Persatuan Pendidikan Akhlak Lip Seang Kor, di sini, malam tadi.

Sebelum ini, media melaporkan Ismail Sabri berkata 'perkahwinan paksa' antara PH dan BN tidak akan berjaya jika tiada rasa cinta antara kepimpinan tertinggi parti atau di peringkat akar umbi.

Bekas Naib Presiden UMNO itu berkata, keretakan kini mula dilihat dalam ‘perkahwinan paksa’ antara parti dalam kerajaan kerana mereka secara terbuka menyerang satu sama lain. - Awani