Kerajaan baru demi rakyat dan negara?

A
A
A

ARENA politik negara digegarkan dengan pendedahan bahawa Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mempertimbangkan kemungkinan bekerjasama dengan Tun Dr Mahathir Mohamad sekali gus membentuk kerajaan campuran baru bersama-sama Parti Islam Se-Malaysia (Pas).

Pendedahan itu dilakukan oleh Ahli Majlis Tertinggi UMNO sendiri iaitu Datuk Lokman Noor Adam. Lebih mengejutkan ialah kenyataan Lokman bahawa kerjasama politik baru itu akan dilancarkan dalam masa terdekat iaitu sama ada pada 10, 11, atau 12 Februari ini dengan nama Pakatan Nasional.

Maka, itu sebabnya Ahmad Zahid akan mengadakan Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO pada 7 Februari supaya kelulusan segera diperoleh tanpa memerlukan mesyuarat agung luar biasa (AGM).

Hakikatnya, desas-desus usaha pembentukan kerjasama politik baru itu bertiup kencang sejak sekian lama; Datuk Seri Anwar Ibrahim bahkan pernah secara terbuka menegur Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, pemimpin UMNO yang dikatakan pencatur utama gerakan bersama-sama Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Malah, sebelum Lokman mendedahkan rakaman kenyataan Ahmad Zahid itu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki terlebih dahulu memberikan bayangan betapa agenda tersebut sedang dipertimbangkan secara serius. Beliau mengadakan tinjauan pendapat secara terbuka pada 3 Februari lalu dengan satu soalan: “Wajarkah Muafakat Nasional bersama dengan Dr Mahathir menolak Anwar dan DAP?”

Pendedahan usaha pembentukan kerajaan baru itu dikatakan bakal melibatkan Parti Bersatu, UMNO-Barisan Nasional, Pas, sebahagian pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) pro-Mohamed Azmin, Gabungan Parti Sarawak dan Parti Warisan Sabah sekali gus mengetepikan PKR, Parti Amanah Negara dan DAP.

Secara tidak langsung, kerjasama itu juga sekiranya benar-benar termeterai bakal menamatkan gabungan Pakatan Harapan (PH).

Lokman mengkritik keras kesediaan Ahmad Zahid untuk bekerjasama dengan Dr Mahathir. Beliau mendakwa Ahmad Zahid ‘terpaksa’ menerima cadangan kerjasama UMNO dengan Bersatu bagi menyelamatkan dirinya daripada 87 pertuduhan di mahkamah ketika ini, dibantu pula Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang didakwa beliau ‘makan gaji dengan Hishammuddin’.

Artikel Berkaitan:

Tuduhan Lokman itu cukup berat dan tentulah Ahmad Zahid dan Hishammuddin perlu memberi penjelasan segera. Namun ada tiga hakikat utama yang perlu diakui susulan pendedahan itu. Pertama, Dr Mahathir benar-benar dalam proses untuk tidak menyerahkan kuasa kepada Anwar.

Kedua, Dr Mahathir kurang yakin dengan kemampuan Kabinet PH hingga sedia bekerjasama dengan UMNO (kecuali Datuk Seri Najib Razak) dan Pas. Ketiga, Dr Mahathir kurang yakin dengan kekuatan Bersatu untuk memenangi pilihan raya umum jika tidak, tentu beliau memilih mengusulkan pembubaran Parlimen dan bukannya tawarkan kerjasama dengan UMNO.

Apa yang penting, setiap pemimpin politik wajib menyedari amanah kekuasaan terletak pada prestasi mereka memperbaiki kualiti hidup rakyat.

Jika kerajaan hari ini di bawah Perdana Menteri sendiri merasakan mereka tidak mampu memberikan prestasi yang wajar dan kos untuk mengadakan pilihan raya umum pula difikirkan membebankan kewangan negara, maka sewajarnya proses pembentukan kerajaan baru yang lebih cekap dan berwibawa wajib untuk disegerakan.

* Abdul Muein Abadi ialah Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)