[VIDEO] Hobi terbongkar selepas isteri terkena peluru

Osman (empat dari kanan) bersama timbalannya, Superintendan Razlam Ab Hamid (tiga dari kiri) menunjukkan raifal yang dirampas daripada seorang lelaki di Kamunting.
Osman (empat dari kanan) bersama timbalannya, Superintendan Razlam Ab Hamid (tiga dari kiri) menunjukkan raifal yang dirampas daripada seorang lelaki di Kamunting.
A
A
A

TAIPING - [DIKEMASKINI] Seorang lelaki berusia 40-an ditahan kerana memiliki empat senjata jenis pistol dan raifal tiruan lengkap bersama 160 peluru logam dan penyenyap bunyi dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Desa Murni, Kamunting di sini semalam.

Hobi suspek yang bekerja sebagai kapten di sebuah syarikat perkapalan swasta itu terbongkar selepas isterinya berusia 30-an menerima rawatan akibat terkena peluru di lengan kiri ketika suspek sedang membersihkan senjata tiruan jenis raifal.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, siasatan dijalankan selepas polis menerima laporan daripada pihak hospital tersebut.

"Ketika kejadian, suspek membersihkan raifal selepas digunakan dan tidak menyangka terdapat peluru lalu terkena isterinya. Wanita terbabit kini menjalani rawatan di sebuah hospital swasta di sini.

"Serbuan dilakukan menemui dua raifal jenis WE 918 automatik dan semi automatik serta dua lagi pistol tiruan jenis Baretta dan Glock bersama empat kelopak peluru serta pelbagai aksesori lain," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping di sini hari ini.

Senjata api tiruan jenis raifal dan pistol bersama kelopak peluru yang dirampas dalam serbuan di Kamunting semalam.
Senjata api tiruan jenis raifal dan pistol bersama kelopak peluru yang dirampas dalam serbuan di Kamunting semalam.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati suspek membeli kesemua barang rampasan tersebut menerusi pembelian atas talian kerana minatnya terhadap senjata tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Suspek membeli dengan harga RM2,000 bagi raifal terbabit dan telah memiliki kesemua senjata itu sejak dua tahun lalu. Suspek turut merancang untuk membeli selaras senapang jenis M16 bernilai RM18,000.

"Suspek dibawa ke mahkamah majistret hari ini bagi mendapatkan perintah reman," katanya.

Osman berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960 iaitu memiliki dan mengimport senjata tiruan serta Seksyen 37 akta sama iaitu menyebabkan kecederaan dengan senjata tanpa alasan yang sah.