222 majikan gagal patuhi perintah gaji minimum di Sarawak

Seramai 222 majikan di Sarawak didapati gagal mematuhi perintah gaji minimum. - Foto 123RF
Seramai 222 majikan di Sarawak didapati gagal mematuhi perintah gaji minimum. - Foto 123RF
A
A
A

KUCHING - Seramai 222 majikan di Sarawak didapati gagal mematuhi perintah gaji minimum yang ditetapkan kerajaan sepanjang tahun lepas.

Pengarah Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Sarawak, Awang Raduan Awang Omar berkata, kesalahan itu dikesan hasil penguatkuasaan di 6,346 premis pekerjaan di Sarawak dan majikan berkenaan diberikan notis untuk membetulkan gaji pekerja mereka.

"(Alasan) biasanya melibatkan keuntungan atau (berniaga) di tempat terpencil di samping mereka tidak mendapat maklumat tentang perintah terbabit," katanya pada sidang media di pejabatnya di sini semalam.

Awang Raduan berkata, pihaknya sebelum ini membuat hebahan meluas berhubung perintah terbabit, bukan sahaja melalui laman web tetapi juga melalui radio dalam pelbagai bahasa.

Gambar hiasan. - Foto 123RF
Gambar hiasan. - Foto 123RF

Mengulas lanjut beliau berkata, bagi tempoh antara 2015 dan 2019, JTK Sarawak membuka 101 kertas siasatan bagi menyiasat majikan yang gagal membayar gaji minimum dan daripada jumlah itu 29 kes dihadapkan ke mahkamah, manakala 24 daripadanya disabitkan kesalahan.

"Selain itu, sebanyak 38 kes ditutup kerana ia diselesaikan, manakala 34 kes yang lain masih dalam tindakan penyiasatan," katanya sambil menambah jumlah keseluruhan denda yang dikenakan adalah sebanyak RM194,203.57. - Bernama

Artikel Berkaitan: