Transformasi kawasan luar bandar

-Foto Bernama
-Foto Bernama
A
A
A

KALAU dahulu penduduk luar bandar yang sering berhijrah ke bandar, kini fenomena bertentangan yang terpapar. Dengan kadar migrasi penduduk bandar ke luar bandar meningkat sebanyak 19.5 peratus berbanding 4.2 peratus pada 2016, pembangunan luar bandar tidak boleh lagi diabaikan.

Awal tahun ini, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun mengatakan pihaknya sudah bersedia untuk mendepani perubahan itu termasuk usaha menarik pelabur asing untuk melabur di kawasan luar bandar.

Dalam kesibukan mengejar transformasi kemodenan, kawasan luar bandar sering kali dipinggirkan dan dipandang enteng. Walhal, pembangunan luar bandar tidak boleh diketepikan dan harus dimajukan seiring pemodenan di kawasan bandar.

Perancangan transformasi luar bandar bukanlah sesuatu yang baru. Justeru, pelaksanaan transformasi luar bandar yang ingin dilakukan perlulah berpaksikan kemakmuran dan kesejahteraan rakyat secara total agar jurang perbezaan antara kawasan bandar dan luar bandar dapat dikurangkan.

Beberapa perkara asas perlu ditekankan sebelum membangunkan sesuatu transformasi bagi kawasan luar bandar.

Kerajaan perlu memastikan pemberian dana yang lebih saksama antara sekolah-sekolah di bandar dengan yang di luar bandar. Ini boleh mengubah sekolah-sekolah yang serba kekurangan di luar bandar menjadi institut-institut akademik yang lebih sempurna.

Tidakkah kita terfikir bahawa sebahagian daripada sistem pendidikan pusat tidak relevan kepada kehidupan penduduk luar bandar? Bagi menggalakkan penyertaan dalam pendidikan, sekolah-sekolah perlu disesuaikan dengan kandungan tempatan dan kandungan yang diajar perlu dikemaskini agar selaras dengan perkembangan semasa.

Penguasaan bahasa Inggeris yang lemah merupakan salah satu faktor yang menghalang pertumbuhan ekonomi luar bandar dan bisnes tempatan.

Artikel Berkaitan:

Oleh itu, bahasa Inggeris wajar diberi keutamaan dan diajar seiring dengan program-program luar bandar yang lain.Kemahiran Program Mentor Mentee secara amnya sebahagian daripada sebuah sistem pembelajaran kemahiran yang berjaya dan merupakan satu konsep yang diterima pakai di seluruh dunia.Program ini boleh ditawarkan kepada anak-anak muda untuk terlibat dalam latihan kemahiran yang berkualiti tinggi. Kesan daripada program-program sebegini, golongan anak-anak muda penduduk desa mampu menjana pendapatan mereka sendiri sambil menjalani latihan kemahiran.

Pihak swasta juga boleh membantu membiayai mereka ini untuk peningkatan dalam latihan program tersebut. Demi kesempurnaan proses perubahan kawasan luar bandar, sistem pengangkutan yang efisien dan boleh dipercayai seharusnya diperluaskan.

Antara perkara lain yang perlu diutamakan adalah perihal keselamatan. Dalam aspek pengangkutan, mod-mod keselamatan yang perlu diberi perhatian ialah seperti lampu jalan, papan tanda amaran, kamera dan lampu isyarat.

Bagi memastikan potensi ekonomi kawasan luar bandar dibangunkan secara maksimum, kawasan pertanian dan ladang, perikanan, sempadan perhutanan serta pusat aktiviti ekonomi desa yang lain mesti dihubungkan dengan pelbagai kemudahan prasarana dan teknologi komunikasi.

Saya juga percaya bahawa ramai anak muda mesti digalakkan untuk meneruskan aktiviti pekerjaan di desa seperti bertani, menternak, mengusahakan aktiviti perikanan, menjadi malim gunung, memajukan kawasan pelancongan serta pelbagai lagi pekerjaan desa yang bermanfaat.

Dengan wujudnya pelan transformasi ini, penduduk luar bandar akan terus menetap dan memajukan kawasan luar bandar kerana desa dan kawasan pedalaman negara adalah aset penting untuk Malaysia terus membangun dengan maju dan terancang.