Zahid mahu tingkat usaha tamat kemiskinan rakyat luar bandar

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Desa dan Wilayah pada Khamis. - Foto Bernama.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Desa dan Wilayah pada Khamis. - Foto Bernama.
A
A
A

PUTRAJAYA - Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu jabatan dan agensi di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) mempertingkatkan usaha menoktahkan kemiskinan rakyat luar bandar, dengan memastikan setiap perancangan dan program yang dilakukan mempunyai keberkesanan untuk kumpulan sasaran iaitu rakyat luar bandar.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu berkata, usaha perlu dipertingkatkan selaras dengan sasaran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu menoktahkan kumpulan miskin tegar di semua peringkat.

"Saya harap sasaran untuk menoktah miskin tegar dilakukan agensi (KKDW). Tetapi jangan lupa masyarakat bandar yang dipanggil sebagai miskin bandar, itu biarlah agensi lain laksanakan.

"Kita jaga KKDW kena terjemahkan dan laksanakan apa disasarkan oleh Perdana Menteri,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan KKDW di sini pada Khamis.

Ahmad Zahid turut menasihatkan warga KKDW agar melaksanakan setiap program yang dirancang tanpa memikirkan kritikan daripada kumpulan yang dikenali sebagai ‘anti-establishment’.

"Kumpulan ‘anti-establishment’ ini mesti ada di mana-mana, pasti ada penolakan oleh kumpulan ini. Ia tidak terhenti meskipun kejayaan muncul.

"Orang suka pasti kata apa kita buat baik... kalau tidak suka pasti kata tidak baik,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid mahu dua agensi dibawah KKDW iaitu Felcra Bhd dan Lembaga Kemajuan Kelantan Selantan (Kesedar) mempertingkatkan kolaborasi sedia ada untuk mengeluarkan satu juta ekor ayam pedaging bagi setiap pusingan berbanding 250,000 ekor ketika ini.

"Saya cabar kolaborasi ini keluarkan satu juta ekor ayam setiap pusingan, pasti boleh dilakukan cuma perlu ada kaedah bagaimana untuk melaksanakannya,” katanya.

Sebelum ini, Felcra dan Kesedar mengambil inisiatif untuk berkolaborasi membangunkan projek ternakan ayam secara tertutup di Paloh 4, Gua Musang dengan kapasiti 250,000 ekor ayam pedaging bagi setiap pusingan.

Projek itu menjana pelbagai aktiviti ekonomi setempat seperti perkhidmatan dan penyelenggaraan, kerja-kerja landskap, pembekalan, pembinaan, kontrak dan sebagainya.- Bernama.