Anggota PGA meninggal dunia ketika mendaki Bukit Besar
KUALA TERENGGANU - Seorang anggota Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) Gong Badak meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung ketika mendaki Bukit Besar, di sini pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, mayat Sarjan Azlam Ali, 50, berasal dari Kampung Tok Pong di sini diturunkan dari atas bukit menggunakan kenderaan pacuan empat roda oleh pasukan bomba selepas anak perempuannya membuat panggilan kecemasan.
"Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk tindakan lanjut. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu isteri mangsa Sakiah Yusof, 50, berkata, Allahyarham keluar bersama anak perempuannya untuk mendaki Bukit Besar awal pagi tadi, bagaimanapun kira-kira 10.30 pagi beliau menerima panggilan telefon yang memaklumkan bahawa mangsa tidak sedarkan diri.
"Arwah baru sahaja pulang selepas ditugaskan selama sebulan di Kelantan," katanya. - Bernama