Kes saman: Prosiding komital Teresa Kok ditangguh 18 Februari

Teresa Kok (kiri) Azwanddin Hamzah
Teresa Kok (kiri) Azwanddin Hamzah
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 18 Februari depan untuk mendengar permohonan prosiding komital difailkan Menteri Industri Utama, Teresa Kok Suh Sim terhadap Presiden Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Datuk Azwanddin Hamzah dalam kes saman fitnah mengaitkan menteri berkenaan yang diselesaikan secara baik pada 29 Julai lalu.

Mahkamah menetapkan tarikh tersebut selepas dimaklumkan Azwanddin tidak dapat menghadiri prosiding itu, hari ini kerana defendan berkenaan menghadapi satu prosiding kes di Mahkamah Ampang.

Peguam S N Nair yang mewakili Teresa Kok berkata, mahkamah telah dimaklumkan mengenai ketidakhadiran defendan dan menetapkan 18 Februari ini sebagai tarikh untuk mendengar prosiding kes di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Datin Rohani Ismail,” katanya selepas pengurusan kes itu, hari ini.

Teresa Kok selaku plaintif memfailkan saman itu pada Januari tahun lalu dengan mendakwa Azwanddin menyampaikan ucapan yang antara lain mengandungi perkataan-perkataan berunsur fitnah secara lisan, fitnah bertulis dan pembohongan dalam satu perhimpunan yang diadakan di Dataran Seni Klang, Selangor pada 25 Disember 2018.

Saman itu berhubung ucapan berbaur fitnah yang mengaitkan menteri berkenaan dalam insiden kuil Sri Maha Mariamman, Seafield, Subang Jaya.

Bagaimanapun pada 29 Julai 2019, kedua-dua pihak bersetuju untuk menyelesaikan kes secara baik di luar mahkamah selepas defendan (Azwanddin) akur untuk mengemukakan permohonan maaf yang diterbitkan di tiga surat khabar iaitu Sinar Harian, The Star dan Sin Chew Daily.

Namun Azwanddin didakwa tidak melaksanakan terma penghakiman persetujuan kes berkenaan dalam tempoh 45 hari, bermula dari 29 Julai menyebabkan plaintif memfailkan prosiding permohonan komital terhadap defendan.

Artikel Berkaitan: