'Tiada komen' - Aisyah Hijanah
KUALA LUMPUR – Pempengaruh, Aisyah Hijanah enggan mengulas mengenai status perkahwinannya, selepas timbul dakwaan dia memfailkan permohonan cerai terhadap suami, Alif Teega di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Gombak Timur, di sini, pada bulan lalu.
“Tiada komen,” kata Aisyah Hijanah Azhari, 26, sambil melemparkan senyuman kepada wartawan.
Wanita itu yang memakai jubah dan mengenakan cermin mata hitam, hadir bagi memberi sokongan kepada Alif atau nama penuhnya, Mohd Hazalif Mohd Hazani, 30, yang dituduh atas dua kes jenayah di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat.
Dia turut merangkul bahu Alif ketika berdepan dengan jurugambar yang menanti di mahkamah sejak awal pagi.
Mereka juga tidak lekang berpimpinan tangan ketika duduk di galeri awam, sebelum dua pertuduhan terhadap Alif dibacakan.
Mengulas mengenai kes itu, Aisyah Hijanah berkata, mereka akan memberi kerjasama kepada pihak berkuasa sehingga prosiding selesai.
Pada Jumaat, Alif mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan salah guna harta bagi program infaq iftar dan korban berjumlah RM63,605.48 pada April serta Jun lalu.
Lelaki itu yang sebelum ini mencetuskan kontroversi rumah tangga, didakwa atas pertuduhan pertama, iaitu secara tidak jujur menyalahgunakan wang RM36,047.35 bagi tujuan infaq iftar di Makkah, Syria dan Palestin di CIMB Bank, KL Gateway, di sini pada 26 April lalu.
Sementara pertuduhan kedua, dia dituduh menyalahgunakan wang RM27,558.13 bagi program 'Jom! sertai infaq daging Qurban' di bank sama, 15 Jun lalu.
Dalam prosiding berkenaan, tertuduh diwakili peguam, Mohd Shahrullah Khan dan Mohd Shahrullah Khan manakala pendakwaan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Farah Yasmin Salleh, Julaila Jamaluddin serta Nurul Atiqah Mohamad Alias.
Pada 11 Julai lalu, seorang pempengaruh dan isterinya ditahan reman tujuh hari, bagi membantu siasatan kes salah guna kuasa untuk mendapatkan rasuah, bermula 2022 lalu.
Ia susulan, tular di media sosial mengenai seorang pempengaruh yang dikatakan mengambil komisen daripada kutipan derma, dengan peratusan yang tinggi.
Selain itu, pasangan itu juga dikatakan hidup dalam kemewahan sehingga menimbulkan pelbagai tanda tanya daripada warga siber.
Bagaimanapun, pasangan itu tampil dan menafikan semua dakwaan penyelewengan dan pecah amanah.
Pada 1 September lalu, memetik laporan portal tempatan, Aisyah Hijanah memohon semua pihak mendoakannya kerana dia berdepan ujian yang sangat berat.
Wanita itu membuat reaksi berkenaan berhubung dakwaan tuntutan cerai di mahkamah.
Memetik laporan portal tempatan, Aisyah Hijanah berkata, keputusan itu diambil berdasarkan pertimbangan dirinya sendiri.