Lebih 5,300 hektar sawah tenggelam akibat banjir di Kedah, Perlis
ALOR SETAR - Seluas 5,388.63 hektar kawasan sawah padi di Kawasan Muda ditenggelami air akibat banjir berikutan hujan berterusan beberapa hari di Kedah dan Perlis.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Datuk Dr Ismail Salleh berkata, berdasarkan Laporan Padi Tenggelam yang dijalankan, kawasan terjejas melibatkan seluas 20 hektar di Wilayah Satu Perlis.
Menurutnya, sementara di Kedah melibatkan kawasan Wilayah II Jitra sebanyak 1,525.6 hektar, selain 2,206.7 hektar di Wilayah III Pendang dan 1,636.33 hektar di Wilayah IV Kota Sarang Semut.
“MADA akan kenal pasti kerosakan tanaman padi di peringkat kawasan melalui bancian yang dijalankan selepas air surut,” katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.
Ismail berkata, setakat ini, sebanyak 93.6 peratus kawasan tanaman padi telah berbunga dan aktiviti masak telah mencapai 68.3 peratus.
“Aktiviti penuaian sekitar 26.6 peratus dan dijangkakan terjejas disebabkan keadaan cuaca pada masa ini,” katanya.
Ismail turut memaklumkan, kawasan tadahan di ketiga-tiga empangan utama menerima turunan hujan tinggi sejak minggu lalu sehingga Selasa.
“Jumlah turunan hujan dalam tempoh enam hari masing-masing sebanyak 197 milimeter (mm) di Empangan Pedu, Empangan Muda (293 mm) dan Empangan Ahning (157 mm).
“Turunan hujan ini menyebabkan berlakunya peningkatan jumlah takungan ketiga-tiga empangan.
"Oleh itu, MADA menutup pelepasan air dari empangan pada Isnin berikutan turunan hujan menyeluruh berlaku di kawasan dataran MADA,” katanya.
Menurutnya lagi, paras Empangan Pedu kini berada pada 84.56 meter dengan jumlah takungan sebanyak 406.438 juta meter padu bersamaan 37.66 peratus.
“Empangan Muda pada paras 90.26 meter, jumlah takungan 36.142 juta meter padu (23.44 peratus).
"Empangan Ahning pada 108.30 meter dengan jumlah takungan 220.407 juta meter padu (80.13 peratus),” katanya.
Ismail berkata, turunan hujan yang tinggi menyebabkan paras air beberapa sungai utama di negeri ini meningkat kepada paras berjaga-jaga.
“Pemantauan paras air dan aliran sungai dilakukan sejurus berlakunya turunan hujan tinggi yang menyebabkan paras air sungai utama meningkat
“Namun, operasi menyalurkan saliran air ke laut agak perlahan disebabkan berlaku pertembungan fenomena air pasang besar yang diramalkan bermula dari Rahu hingga Sabtu depan, selain limpahan air di kawasan daratan termasuk banjir,” ujarnya.
Menurutnya, antara tindakan awal yang diambil ialah menyalurkan air lebihan melalui infrastruktur pengairan dan saliran sedia ada, antaranya melalui sistem Lana Bulu, sistem Alor Changileh, Terusan Tengah dan Selatan.
“Operasi saliran melalui struktur ‘Pelubang Barrage’ di Kampong Kepala Batu dijalankan bermula petang Isnin bagi mempercepatkan aliran dari Sungai Padang Terap.
“Kesemua lapan pintu Tandop Pasang Surut di Sungai Kedah, Ampang Jajar dibuka dan hanya ditutup apabila berlaku kenaikan aras laut,” katanya.
Dalam pada itu, Ismail memaklumkan, turunan hujan tinggi direkodkan di kebanyakan stesen melebihi 100 mm dan menyebabkan paras air sungai utama meningkat.
“Bermula Khamis lepas hingga Selasa, turunan hujan di Kawasan Muda melebihi 60 mm dan dikategorikan sebagai sangat lebat di kawasan dataran dan sungai utama.
“Turunan hujan di Kawasan Muda sehingga Rabu mencatatkan jumlah kumulatif 1,500 mm.
"Pada Isnin, Kawasan Muda menerima turunan hujan tinggi, iaitu 109 mm dalam tempoh sehari,” katanya.
Menurutnya, ini menyebabkan aliran sungai di Kuala Nerang meningkat ke paras berjaga-jaga, iaitu 16.36 meter pada jam 2 pagi Selasa dan mencecah ke paras bahaya (17.14 meter) pada jam 7 pagi hari sama.
“Paras air Kuala Nerang menunjukkan tren meningkat, iaitu 17.28 meter dengan aliran sebanyak 193 meter padu/saat pada Rabu.
“Rekod paras air Sungai Bata dan Sungai Pendang masing-masing pada paras bahaya dan menunjukkan tren meningkat, iaitu 9.58 meter dan 2.86 meter.
“Sungai Arau mengalami penurunan paras dan masih pada paras amaran, iaitu 6.66 meter,” jelasnya.
Sebelum ini, Jabatan Metereologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan berkaitan Amaran Hujan Berterusan (waspada) yang dijangka berlaku mulai 15 sehingga 19 September melibatkan Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak.