Alahai palatau, janganlah panggil abang bomba!

No Image Caption
A
A
A

SEWAKTU kecil dan masih bersekolah di desa, penulis menyangka kerja bomba hanya memadam kebakaran. Namun bila dewasa, baru penulis tahu rupanya tugas bomba bukan setakat itu. Banyak kerja anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM).

Cincin melekat di kemaluan panggil bomba, belum lagi ular sawa dan senduk masuk rumah pun panggil bomba. Bahkan beberapa insiden kucing tersangkut atas bumbung pun bomba kena selesaikan. Mereka perlu pantas selepas menerima panggilan kecemasan.

Bayangkan sepanjang tahun 2019, JBPM telah menerima sebanyak 111,065 panggilan kecemasan meliputi 43.3 peratus adalah kecemasan melibatkan kes kebakaran manakala 54.7 peratus lagi adalah tugas menyelamat dan 2 peratus khidmat kemanusiaan.

Berbanding keseluruhan 110,150 kes pada 2018, terdapat peningkatan sebanyak 6 peratus panggilan kecemasan secara keseluruhannya. Dengan perangkaan ini, bermakna purata 321 panggilan perlu ditangani oleh pasukan kecemasan JPBM setiap hari.

Taksiran harta berjaya diselamatkan daripada kebakaran pula adalah sebanyak RM48 bilion tahun lepas. Cemerlang bukan?

Pada saat kita sedang ketakutan wabak koronavirus sekarang ini, pihak JBPM bersedia membantu Kementerian Kesihatan untuk menghalang wabak itu daripada menular. Lihat, mereka sanggup bergadai nyawa demi memastikan keselamatan kita terbela.

Boleh dikatakan setiap hari media melaporkan mengenai insiden-insiden yang dibantu oleh bomba termasuk malapetaka di jalan raya.

Pokoknya daripada masalah kemaluan tersepit hingga virus tidak boleh dilihat itu pun mereka ikhlas membantu.

Artikel Berkaitan:

Kecemasan

Kalau diikutkan penulis sudah kerap membuat liputan bersama pihak JBPM. Bahkan penulis menyaksikan sendiri bagaimana maklum balas anggota bomba selepas menerima panggilan kecemasan.

Bayangkan standard masa bertindak ditetapkan JBPM ialah kurang daripada 10 minit, diukur daripada masa menerima panggilan sehinggalah tiba di tempat kejadian.

Jadi, kepada mereka yang berniat jahat itu, janganlah suka-suka hendak membuat panggilan palsu untuk mempermainkan mereka.

Janganlah juga menjadi palatau dalam memahami prosedur operasi standard (SOP) bomba.

Kepada yang hendak tahu, istilah palatau yang dikatakan berasal daripada gabungan perkataan ‘kepala tahu’ itu adalah merujuk kepada pakar jadian iaitu seseorang yang gemar bercakap mengenai sesuatu perkara seolah-olah dia tahu mendalam walhal tidak mempunyai ilmu mengenai perkara itu.

Jangan jadi palatau termasuk dalam memahami SOP bomba!

Lupakan dulu kisah palatau yang sedang popular di media sosial sekarang ini sebaliknya sama-sama kita hayati adakah masyarakat benar-benar ikhlas menghargai pengorbanan anggota bomba?

Alhamdulillah, dalam Belanjawan 2020, anggota JBPM menerima elaun khas RM200 sebulan sebagai penghargaan untuk mereka. Warganya menganggap elaun itu sebagai penyuntik semangat.

Menurut Ketua Pengarah JBPM, Datuk Mohammad Hamdan Wahid, elaun itu sebagai bukti bahawa khidmat bomba sama penting dengan khidmat agensi lain. Ya, memang benar. Jadi mereka wajar mendapat elaun.

Penulis melambung pujian terhadap warga bomba bukan kerana baru-baru ini penulis menerima sijil penghargaan daripada JPBM sempena Majlis Perbarisan Tahunan mereka, bukan juga ada buah hati di mana-mana balai bomba, tetapi penulis sebagai orang awam yang melihat betapa peranan mereka bukan suatu tugas biasa-biasa.

Alang-alang tidak cukup kudrat daripada kaki sampai kepala, jangan mimpi hendak menjadi anggota bomba. Ironinya kalau angkat tangga pun tumbang, jangan gatal hendak menjadi bomba!

Lagi pula sebenarnya penulis dan bomba ini ada kisah tersendiri. Malu penulis hendak katakan bahawa penulis sudah dua kali terkurung dalam rumah gara-gara pintu terkunci dan tidak dapat dibuka menggunakan kunci. Bomba datang bantu.

*Anita Abu Hasan ialah Editor Pemerolehan Berita Sinar Harian