'Tak mengapa kena tunggu lapan bulan'
WASHINGTON - Tempoh menunggu selama lapan bulan untuk kembali ke bumi bukanlah satu waktu yang singkat, lebih-lebih lagi apabila hanya berada di dalam satu ruang yang mengehadkan pergerakan.
Tetapi, dua angkasawan Amerika Syarikat (AS) yang terkandas di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) ini tetap berfikiran positif.
“Kami sudah dilatih untuk berdepan perkara yang tidak dijangka seperti ini,” kata Sunita Williams @ Suni, 58, dan Barry Wilmore @ Butch, 61, yang terpampang wajah gembira mereka ketika sidang media dari angkasa lepas pada minggu lalu.
Williams berkata, beliau gembira menjadikan ISS sebagai 'rumah sementara' meskipun amat merindukan keluarga dan dua anjing peliharaannya.
Pada minggu lalu, kedua-duanya berasa sedikit sebak apabila melihat kapal Starliner milik Boeing pulang semula ke bumi tanpa mereka.
“Kami kesuntukan masa pada ketika itu dan tidak dapat berbuat apa-apa serta tiada pilihan lain,” kata Wilmore.
Difahamkan, mereka sepatutnya menyertai ujian penerbangan selama lapan hari di orbit bermula 5 Jun lalu, namun tempoh itu terpaksa dianjak kepada lapan bulan, gara-gara Starliner berdepan beberapa masalah teknikal.
Pasukan jurutera dilaporkan mengenal pasti masalah pada sistem pendorong dan kebocoran helium yang berisiko tinggi kepada mereka.
Bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini daripada berlaku, Pentadbiran Angkasa Lepas dan Aeronautik Kebangsaan (NASA) mengumumkan Williams dan Wilmore dijadualkan kembali ke bumi pada Februari 2025 bersama kapal angkasa, Crew-9 milik SpaceX yang merupakan pesaing utama Boeing.
“Saya tidak menyalahkan NASA atau Boeing atas masalah yang timbul. Saya juga tidak keberatan jika terpaksa menunggu selama sembilan atau 10 bulan atau lebih daripada jangka waktu asal untuk kembali ke bumi,” ujar Wilmore.
Seperti dalam babak filem sains fiksyen, mereka sudah membuat jadual rutin harian termasuk melakukan aktiviti senaman bagi mengelakkan risiko kehilangan ketumpatan tulang kerana berada di ruang angkasa.
“Menariknya, sendi-sendi anda tidak akan berasa sakit kerana berada dalam keadaan terapung. Kami sudah memohon undi pos untuk Pilihan Raya Presiden AS pada 5 November depan dan tidak mahu ketinggalan menunaikan tanggungjawab kami,” tambahnya dalam nada teruja.
Uji daya tahan
Ketua Angkasawan NASA, Joe Acaba berkata, Wilmore dan Williams sudah membuat persediaan mental dan fizikal untuk ujian penerbangan malah mereka juga sedia maklum dengan sebarang kemungkinan.
“Misi ke angkasa lepas sememangnya berisiko, namun sebagai angkasawan profesional, mereka sudah semestinya akan melakukan yang terbaik,” ujarnya.
Wilmore yang menjadi komander ekspedisi itu berpengalaman selama 178 hari di angkasa lepas manakala Williams memegang rekod lebih lama iaitu selama 322 hari.
Jika mereka kembali dengan kapal angkasa milik SpaceX, ia pastinya bakal memberi 'tamparan hebat' kepada program angkasa Boeing yang terpalit dengan skandal dunia penerbangan sebelum ini.
Pada 2014, kedua-dua syarikat gergasi aeroangkasa itu memeterai kontrak bernilai berbilion dolar untuk menyediakan pengangkutan ke ISS setelah program pesawat ulang-alik NASA ditamatkan pada 2011 yang menyaksikan AS terpaksa bergantung kepada roket Soyuz kepunyaan Rusia bagi membawa kru mereka.SpaceX di bawah bilionair kontroversi, Elon Musk mendahului program ke angkasa lepas setelah berjaya melakukan ujian penerbangan pertama pada 2020.
Sejak empat tahun lalu, ia telah membawa puluhan angkasawan termasuk kru terdiri daripada orang awam dan terbaharu di bawah misi Polaris Dawn dengan menaiki Crew Dragon.
Ketika banyak pihak simpati dengan nasib mereka yang 'terkandas', Williams memberitahu beliau tetap gembira kerana Starliner berjaya mendarat di bumi tanpa sebarang isu.
“Kita perlu buka lembaran baharu. Ia sebenarnya bakal menguji 'daya tahan' kami sehingga Februari depan. Kami sudah dilatih untuk menangani apa jua situasi dan akan dipraktikkan sekarang,” tambahnya lagi. - Agensi