Tiada saksi sukarkan mangsa buli ambil tindakan - Peguam

Muka depan Sinar Harian pada Selasa. Gambar kecil: Muhammad Akram
Muka depan Sinar Harian pada Selasa. Gambar kecil: Muhammad Akram
A
A
A

SHAH ALAM - Sukar atau tidak untuk membuktikan berlakunya sesuatu perbuatan buli itu bergantung kepada fakta kes dan bahan bukti yang ada.

Peguam, Muhammad Akram Abdul Aziz berkata, kedua-dua elemen itu menjadi penentu penting kepada sesuatu hukuman atau pertuduhan selanjutnya.

“Ada kes di mana terdapat saksi atau bukti dokumen contohnya, mesej ugutan atau kata-kata kesat di media sosial. Maka dalam situasi ini, lebih mudah untuk perbuatan buli itu dibuktikan oleh doktor yang menjadi mangsa.

“Namun ada kalanya, buli ini dibuat secara tersirat atau di dalam keadaan yang mana tiada bukti jelas, sebagai contoh ugutan dibuat di bilik di mana hanya mangsa dan pembuli sahaja yang ada.

“Dalam keadaan ini, tidak dinafikan ia sedikit sukar untuk membuktikan wujudnya insiden buli tersebut namun ia bukan bermakna langsung tiada kes untuk dibangkitkan pengadu,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad pada Isnin dilapor berkata, kementerian yang diterajuinya tidak akan bertoleransi dengan sebarang perbuatan buli terhadap kakitangannya.

Beliau menjelaskan, perbuatan buli tidak pernah menjadi budaya Kementerian Kesihatan (KKM), malah perkara itu kekal menjadi dasar utama kementerian tersebut.

Ia susulan kematian seorang doktor di Sabah pada 29 Ogos lalu yang didakwa menjadi mangsa buli serta menghadapi tekanan kerja.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Muhammad Akram berkata, laporan atau tindakan undang-undang masih boleh diambil terhadap pembuli, namun ia mungkin tidak bersifat begitu terus-terang berbanding kes yang mempunyai bukti kukuh.

“Soalnya sama ada doktor yang dibuli tersebut mahu mengambil tindakan atau tidak sahaja,” katanya.

Ditanya mengenai kewujudan kes doktor mengemukakan saman terhadap rakan setugas kerana membuli beliau berkata, perkara tersebut pernah berlaku.

“Firma guaman kami pernah mengendalikan kes sedemikian yang mana ia berkenaan dakwaan fitnah. Namun kes sebegini jarang berlaku,” katanya.

Muhammad Akram dalam pada itu turut menasihatkan mangsa buli di tempat kerja supaya tidak menyembunyikan kes yang berlaku, meluahkan perkara berkenaan kepada pihak yang dipercayai.

“Jika doktor yang dibuli tidak mengambil langkah sebegini, saya percaya ia hanya akan membuatkan pembuli bertindak secara berlebihan memandangkan tiada implikasi negatif terhadapnya.

“Malah, kebiasaannya pembuli juga hanya akan membuli pihak yang dianggap sebagai lemah atau tidak melawan,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!