Polis siasat video sentuh sensitiviti agama
GEORGE TOWN - Polis membuka kertas siasatan berhubung satu klip video di TikTok yang didapati menyentuh sensitiviti agama.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, video tersebut memaparkan upacara dalam sebuah tokong namun menggunakan runut bunyi selawat.
Menurutnya, klip video itu didapati telah menyentuh sensitiviti umat Islam.
"Pada jam 11.30 pagi tadi, terkesan satu klip video di aplikasi TikTok yang memaparkan upacara di dalam tokong dan berlatarbelakangkan runut bunyi selawat.
"Sehubungan itu, satu kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
"Jika sabit kesalahan, mereka yang bersalah boleh dipenjara sehingga satu tahun atau denda sehingga RM50,000 atau kedua-duanya sekali," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Sementara itu, semakan di akaun TikTok mendapati, video itu dipercayai telah dipadam oleh pemilik akaun tersebut.