Dua warga emas cedera, pacuan empat roda dihempap pokok

Pokok yang menghempap pacuan empat roda di Jabatan Cetak Jalan Tuaran Bypass.
Pokok yang menghempap pacuan empat roda di Jabatan Cetak Jalan Tuaran Bypass.
A
A
A

KOTA KINABALU - Dua warga emas cedera selepas kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki dihempap pokok tumbang dalam kejadian di Jabatan Cetak, Jalan Tuaran Bypass di sini pada Selasa.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu, Ag Arshad Pg Padang dan rakannya, Ramli Abd Rahman masing-masing berusia 62 tahun mengalami cedera ringan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Ordine Gilu berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 1.08 tengah hari.

Katanya, seramai enam anggota dikejar ke lokasi kejadian yang terletak sejauh lima kilometer dari BBP Kota Kinabalu.

Dua warga emas cedera selepas pacuan empat roda dinaiki dihempap pokok tumbang.
Dua warga emas cedera selepas pacuan empat roda dinaiki dihempap pokok tumbang.

"Menurut laporan, pokok tumbang telah menghempap sebuah kenderaan jenis Ford Ranger di mana terdapat dua lelaki di dalam kenderaan tersebut.

"Pasukan bomba bertindak memotong dan mengalihkan pokok tumbang menggunakan gergaji berantai dan hasil pemeriksaan dua mangsa tersebut dilaporkan mengalami kecederaan ringan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Katanya lagi, operasi kemudian ditamatkan pada jam 2.07 petang selepas memastikan keadaan di lokasi selamat.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah memaklumkan pihaknya setakat ini menerima sebanyak 34 panggilan kes pokok tumbang di seluruh negeri.

Pasukan bomba melakukan operasi mengalihkan pokok tumbang dengan menggunakan gergaji berantai.
Pasukan bomba melakukan operasi mengalihkan pokok tumbang dengan menggunakan gergaji berantai.

Panggilan itu diterima sejak jam 8 pagi Isnin hingga 5 petang Selasa iaitu melibatkan daerah Kota Belud dengan sembilan kes, Kota Kinabalu (11), Penampang (4), Tuaran dan Kudat masing-masing tiga kes manakala Sook, Tenom dan Tawau terdapat satu kes.

Dalam kes berasingan, bumbung Balai Polis Tenom diterbangkan angin dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang hari yang sama.

Keadaan bumbung Balai Polis Tenom yang diterbangkan angin.
Keadaan bumbung Balai Polis Tenom yang diterbangkan angin.

Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Tenom, Deputi Superintenden Ediansha Endal berkata, tiada mangsa dilaporkan dalam kejadian itu.

"Setakat ini bumbung bangunan balai polis saja yang terjejas dan tiada melibatkan mangsa," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!