Pendaki Malaysia jatuh di Gunung Rinjani
LOMBOK TIMUR - Seorang pendaki warga Malaysia, Mohammad Hafidz terjatuh ke tebing sedalam 10 meter berhampiran Jambatan Pos 2 Tengengean Sembalun, Gunung Rinjani, Lombok Timur di Nusa Tenggara Barat (NTB), Indonesia.
Jurucakap pihak berkuasa, Wahyu Indrawan berkata, kejadian itu berlaku ketika mangsa mendaki bersama rakannya pada Isnin.
"Ketika melalui Pos 2 jalur pendakian Sembalun, Hafidz dipercayai telah tergelincir sebelum terjatuh kerana mahu mengelakkan malim gunung yang sedang berada di laluan sama," lapor detikBali memetik kenyataannya.
Menurutnya, mangsa mengalami kecederaan pada pelipis, leher, punggung dan pergelangan kaki kanannya.
"Dia masih tidak boleh berjalan kerana kaki yang cedera. Pemeriksaan yang dilakukan ke atasnya juga mendapati Hafidz tidak mengalami patah tulang atau kecederaan yang serius. Dia kini dirawat di Puskesmas Sembalun," jelasnya lagi. - Agensi