Guardiola tak percaya City tumbang

Para pemain Spurs dan City bertikam lidah ketika aksi di Stadium Tottenham Hotspur awal pagi tadi.
Para pemain Spurs dan City bertikam lidah ketika aksi di Stadium Tottenham Hotspur awal pagi tadi.
A
A
A

Pengurus Manchester City, Pep Guardiola dilapor telah ‘mengurung’ barisan pemainnya selama hampir sejam selepas kekalahan 0-2 kepada Tottenham Hotspur pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) awal pagi tadi.

Malah, pengendali kelahiran Sepanyol itu juga diberitakan lewat menghadiri sidang media selepas perlawanan itu yang berlangsung di Stadium Tottenham Hotspur.

Bagaimanapun, pada sidang media berkenaan, Guardiola memberitahu, kelewatannya bukan kerana dia menyalahkan para pemainnya ekoran kekalahan tersebut.

“Perlukah saya terlalu kritikal terhadap persembahan kami dalam perlawanan ini? Silap besar untuk saya mengatakan City gagal menampilkan permainan yang cemerlang.

“Kami mencipta peluang dan dibolosi dua gol. Saya sentiasa berasakan permainan yang cemerlang apabila anda telah menghasilkan banyak peluang berbanding pasukan lawan. Saya sentiasa percaya dengan perkara ini, anda semakin hampir untuk memenangi perlawanan,” katanya.

Bekas pengendali Bayern Munich dan Barcelona itu berkata, kegagalan The Citizens untuk memanfaatkan peluang terbaik dilihat menjadi faktor kepada kekalahan berkenaan.

“Kami beraksi baik tetapi kami tewas dan ia berlaku lagi. Saya juga tidak ada banyak perkara untuk diperkatakan mengenai persembahan kami tetapi dalam bola sepak, ia adalah mengenai berapa banyak gol dijaringkan dan dibolosi.

“Perkara sama juga berlaku ketika menentang Manchester United. Kami tewas 0-1 dan mereka hanya mencipta beberapa peluang berbanding kami yang memiliki banyak peluang tetapi gagal menjaringkan gol.

Artikel Berkaitan:

“Situasi malang ini terus berlaku lagi dan kami perlu menerimanya dan memperbaiki keadaan ini. Kadangkala ia bukan mudah kerana kami telah beraksi dengan baik,” ujarnya.

Guardiola turut menyifatkan ketiadaan pemain muda, Oleksandr Zinchenko yang dibuang padang kerana menerima kad merah pada minit ke-60 sebagai antara punca kekalahan City.

“Saya telah memberikan amaran kepada Zinchenko agar tidak melakukan sebarang kekasaran kerana dia telah pun menerima kad kuning sebelum itu. Namun, sama ada kami beraksi dengan 10 atau 11 pemain, ia memberikan impak besar khususnya dari segi permainan,” katanya.