Pengkhianatan pemimpin Arab

A
A
A

Ketika debu mengaburi Deal of the Century iaitu satu rancangan keamanan yang dicetuskan oleh Donald Trump tiada kritikan pedas yang boleh saya tawarkan selepas melakukannya hampir setiap suku tahun.

Pemimpin (dan calon Presiden) politik Amerika Syarikat (AS) sendiri seperti Bernie Sanders dan Elizabeth Warren menyatakan kemarahan dan rasa tidak puas hati dengan rancangan tersebut.

Ditambah pula, konspirasi antara Jared Kushner dan Benjamin Netanyahu yang mempunyai agenda di sebalik percubaan untuk menyelesaikan konflik yang paling lama dalam sejarah dunia ini dengan memperkenalkan Israel sebagai negara aparteid di Palestin.

Selain perkara di atas, saya rasa penting juga untuk membongkar siapa penyokong yang memudahkan jalan kepada penindasan ini. Ia adalah kerajaan dari Teluk Arab yang telah meninggalkan lima juta jiwa untuk diseksa dan tidak dibela di Palestin.

Sekalipun menantu hingusan Trump secara kasar mengatakan rakyat Palestin telah memusnahkan setiap peluang untuk berdamai yang diberikan kepada mereka sepanjang 70 tahun yang lalu, ia masih tidak masuk akal untuk menghapuskan mereka dalam sejarah kehidupan manusia di dunia ini.

Bagaimanapun, saya percaya terdapat golongan pembela yang menyokong rakyat Palestin untuk mendapat hak mereka kerana kesanggupan mempertahankan tanah air mereka. Namun, mereka yang menentang dengan ideologi ini tidak akan berhenti di sini.

Terdapat penolakan yang semakin meningkat terhadap orang Arab secara khususnya dan umat Islam secara amnya kerana dianggap agresif dan bengis.

Negara yang terlibat dengan peperangan dan konflik yang berpanjangan itu bukannya Iraq atau Afghanistan atau Libya tetapi AS dan Great Britain. Israel secara berterusan berperang dengan negara lain sejak hari pertama diberi kuasa oleh kuasa-kuasa yang sama. Ia amat pahit untuk diterima, namun ia adalah fakta.

Artikel Berkaitan:

Walaupun anda menerima hujah anti-Arab ini, adakah berbaloi untuk mempertimbangkan di mana perlu membataskan hal ini? Jika kita membiarkan seramai lima juta rakyat Palestin terseksa, bagaimana pula dengan 100 juta orang Arab atau 50 juta orang Iran, bahkan satu bilion umat Islam di seluruh dunia. Dengan hanya menanyakan soalan itu dianggap keterlaluan.

Semua itu nampak lebih mencurigakan apabila negara-negara Majlis Kerjasama Teluk (Saudi, UAE, Oman dan Bahrain) semuanya menyokong konspirasi Kushner/Netanyahu/Zionis Israel. Ia menimbulkan beberapa persoalan, kenapa mereka perlu meraikan ketidakadilan rakyat Palestin yang dianggap oleh masyarakat dunia sebagai sebahagian daripada golongan orang Arab?

Apakah yang bakal terjadi kepada kesejahteraan masa depan dan nilai diri mereka sendiri?

Tunduk

Adakah mereka benar-benar berfikir ketika hari perhitungan kelak, orang Israel dan AS akan berdiri di samping mereka, bersedia menumpahkan darah untuk mempertahankan mereka? Jika anda sudah berhenti ketawa, maka pertimbangkan jawapan yang ringkas itu tiada satu pun negara-negara ini mengamalkan demokrasi atau autokrasi. Mereka ialah raja monarki secara mutlak yang memerintah dengan kekerasan, paksaan dan penipuan.

Saudi mungkin menjadi ketua mereka dan Bahrain menjadi pengampu, namun mereka semua daripada keturunan yang sama. Orang munafik itu percaya dengan tunduk akur terhadap kehendak Zionis AS akan memastikan kelangsungan rejim mereka.

Malangnya, salah faham itu telah meresap ke dalam buah fikiran masyarakat mereka, sebati dengan penyalahgunaan yang tidak diceritakan. Mereka tidak pernah mempunyai pilihan lain. Raja mereka mempunyai kuasa mutlak untuk melakukan apa sahaja.

Apabila tangan penuh dengan intan permata, keinginan untuk menunjuk-nunjuk akan meningkat supaya yang miskin mungkin merasa seperti raja. Begitu juga dengan keinginan mereka ini akan berakhir tidak lama lagi dan kebimbangan akan dipulihkan. Ia menjadi idaman untuk Bibi, Jared, Donald dan semua sahabat baharu mereka dari Teluk itu.

Pada masa yang sama, kita akan terus menerus menyokong rakyat Palestin dan mengutuk aparteid Zionis selagi kita kuat untuk lakukannya, sebagaimana yang perlu kita lakukan.

* Dr Rais Hussin ialah Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu dan Pengerusi Biro Strategi dan Dasar parti