Pengasas Albayt Travel jumpa Mujahid bincang isu Sajat

Gambar dari kiri: Mujahid Yusof, Sajat dan Sofwan Che Seman
Gambar dari kiri: Mujahid Yusof, Sajat dan Sofwan Che Seman
A
A
A

KUALA LUMPUR - Agensi pelancongan, Albayt Travel (M) Sdn Bhd menemui Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof petang ini susulan kontroversi usahawan kosmetik, Muhammad Sajad Kamaruzzaman ke Tanah Suci bagi menunaikan ibadah umrah.

Pengasas agensi pelancongan Albayt Travel (M) Sdn Bhd, Sofwan Che Seman, beliau diundang untuk menemui Mujahid bagi memberi penjelasan berhubung kronologi pemergian usahawan dikenali sebagai Sajat ke Tanah Suci menerusi pakej yang diuruskan syarikatnya.

Kata Sofwan, dalam pertemuan itu, beliau akan mendapatkan pandangan daripada Mujahid bagaimana isu berkenaan dapat diselesaikan.

"Saya akan berkongsi dengan Datuk Seri Mujahid proses yang kami lakukan seperti kelazimannya dalam menguruskan jemaah ke Tanah Suci.

"Mengenai isu Sajat, saya akan maklumkan bahawa kami mengikut prosedur operasi standard serta peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa," kata Sofwan dalam laporan Astro AWANI ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu, Mujahid turut meluahkan rasa kesal bagi pihak kerajaan dengan tindakan Sajat yang bertelekung serta menjalani ibadah umrah seperti wanita.

Menurutnya, tindakan sedemikian mencemarkan imej Islam dan hubungan baik Malaysia dengan kerajaan Arab Saudi.

"Saya kesal dengan tindakannya yang memaparkan di Instagram seolah-olah ia bukan satu kesalahan," katanya selepas town hall Maqasid Syariah di Kementerian Kesihatan (KKM) di sini hari ini.

Artikel Berkaitan: