Pertarungan rebut kerusi DUN Mahkota bermula hari ini

Petugas SPR dan pihak berkaitan giat melakukan persiapan menjelang hari penamaan calon sempena PRK DUN Mahkota di Dewan Tunku Ibrahim Ismail pada Jumaat. Foto Bernama
Petugas SPR dan pihak berkaitan giat melakukan persiapan menjelang hari penamaan calon sempena PRK DUN Mahkota di Dewan Tunku Ibrahim Ismail pada Jumaat. Foto Bernama
A
A
A

PERTARUNGAN merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota akan bermula usai proses penamaan calon pilihan raya kecil (PRK) yang berlangsung hari ini.

Setiap bakal calon diberi tempoh sejam bermula 9 hingga 10 pagi untuk menyerahkan borang pencalonan sebelum senarai mereka yang layak bertanding diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Azurawati Wahid.

Penyerahan kertas penamaan calon akan ditutup satu jam selepas itu dan pihak yang bertanding mempunyai 14 hari tempoh berkempen bermula daripada pengisytiharan calon bertanding hingga 11.59 malam 27 September ini.

Kerusi DUN Mahkota kosong susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lalu ketika menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang, Johor.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRK itu pada 28 September, manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 14 dan 24 September.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Mac 2022, Sharifah Azizah yang juga calon BN memenangi kerusi DUN itu dengan majoriti 5,166 undi.

Setakat ini, Barisan Nasional (BN) mengumumkan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang, Syed Hussien Syed Abdullah, 40, sebagai wakil Kerajaan Perpaduan pada PRK itu manakala Perikatan Nasional (PN) memilih bekas pemain bola sepak Johor FA, Mohamad Haizan Jaafar, 61, sebagai calon.

PRK ini ialah yang ke-10 diadakan selepas Pilihan Raya Umum ke-15.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, PRK Parlimen Kuala Terengganu (Terengganu) telah berlangsung diikuti PRK DUN Simpang Jeram dan PRK Parlimen Pulai di Johor, PRK DUN Pelangai (Pahang), PRK DUN Jepak (Sarawak), PRK Parlimen Kemaman (Terengganu), PRK DUN Kuala Kubu Baharu (Selangor), PRK Sg Bakap (Pulau Pinang) dan PRK Nenggiri (Kelantan).

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!