Najib, Rosmah dibenar periksa barang disita

Najib, Rosmah
Najib, Rosmah
A
A
A

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini, hari ini membenarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor memeriksa secara fizikal ke atas barang yang disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), yang didakwa ada kaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Hakim Mohamed Zaini Mazlan bagaimanapun menetapkan syarat iaitu pemeriksaan perlu dilakukan antaranya di premis yang ditetapkan oleh kerajaan serta pemohon boleh membuat pemeriksaan fizikal namun ia perlu dibuat di bawah pengawasan pihak berkuasa.

“Hanya seorang peguam serta pembantu boleh menemani setiap pemohon dan pemeriksaan dilakukan sekali dalam tempoh dua minggu akan datang. Seterusnya afidavit difailkan ke mahkamah,” katanya.

Mohamed Zaini berkata, kebimbangan pihak pendakwaan terhadap tahap keselamatan boleh di atasi dengan memastikan pemeriksaan dilakukan di premis yang dikawal dengan sistem keselamatan terbaik.

Menurut hakim berkenaan, mahkamah percaya proses pemeriksaan fizikal tersebut tidak akan menyebabkan kemerosotan kualiti atau lain-lain hal membabitkan barang sitaan tersebut.

Katanya, semua pihak yang terlibat perlu diberi peluang untuk mendapatkan keadilan di mahkamah.

Pada 18 Julai tahun lalu, Najib, 67, memfailkan notis usul bagi mendapatkan butiran lengkap dan memeriksa barangan yang disita SPRM pada 17 Mei 2018.

Ia termasuk 315 beg tangan pelbagai jenama dan wang tunai pelbagai mata wang asing.

Artikel Berkaitan:

Najib memfailkan permohonan itu atas alasan sebahagian daripada kandungan kotak, beg serta bekas simpanan yang menjadi sebahagian daripada harta alih yang dirampas, telah dikeluarkan daripada bungkusan asalnya dan ia menyebabkan kekeliruan bagi membuat pengecaman terhadap harta alih berkenaan.

Sementara itu Rosmah, 69, dan anaknya, Nooryana Najwa, 32, memohon diberi kebenaran untuk membuat pemeriksaan fizikal serta meneliti harta alih yang disita itu.

Menurut kedua-dua notis usul itu, antara barangan yang dirampas ialah 315 beg tangan pelbagai jenama, 14 utas jam dan 27 pasang kasut pelbagai jenama, serta wang tunai pelbagai mata wang asing antaranya membabitkan wang tunai RM537,000, Pound Sterling 2,700, Rupee Sri Lanka 2,870,000, wang lama Ringgit Malaysia RM187,750 dan Pound Sterling 320,500.